SHAH ALAM, 25 Sept (Bernama) — Seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera di dada dan beberapa bahagian badan akibat ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dekat sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu turut menyebabkan tiga pelajar sekolah menengah cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua mangsa.
Katanya terdahulu, dua suspek lelaki terbabit mengekori kereta dinaiki mangsa sebelum melepaskan kira-kira sembilan das tembakan ke arah kenderaan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian tembakan itu berlaku kira-kira 100 meter dari sebuah sekolah menengah. Pengawal peribadi terbabit yang memandu BMW berkenaan telah hilang kawalan akibat ditembak menyebabkan kereta tersebut merempuh beberapa kereta lain.
Beliau berkata ketiga-tiga pelajar tersebut bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di Hospital Banting.
Menurutnya ahli perniagaan itu dan pengawal peribadinya turut di hantar ke hospital sama untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi rawatan lanjut.
Mengulas lanjut, Azizan berkata sebelum insiden tembakan itu, ahli perniagaan dan pengawal peribadinya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai di Sungai Manggis, Banting.
Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati motif kejadian dipercayai pergaduhan di antara dua kumpulan dan tidak menolak kemungkinan turut berpunca daripada masalah perniagaan.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan satu klip video berdurasi 29 saat memaparkan kereta BMW yang dikatakan terlibat dalam kejadian tembakan tersebut.
Sumber: BERNAMA