Kuantan: Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis kerana mendakwa diperdayakan dalam pembelian bijih besi tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian RM250,000 sejak tujuh tahun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 53 tahun mendakwa membuat bayaran itu kepada suspek lelaki berumur 50 tahun yang dikatakan boleh membantu mendapatkan bijih besi itu.
“Mangsa mendakwa suspek mengetahui lokasi perlombongan bijih besi di Dungun, Terengganu menyebabkan dia bersetuju untuk menandatangani perjanjian bagi mendapatkan hak pembelian bijih tersebut.
“Berdasarkan perjanjian mereka, mangsa mendakwa dirinya akan mula memperoleh bijih besi itu selepas selesai membuat pembayaran penuh RM250,000 yang didakwa sudah diselesaikan pada awal tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir menambah mangsa bagaimanapun tidak berpuas hati apabila suspek kerap memberi alasan apabila ditanya mengenai urusan selanjutnya menyebabkan mangsa memeriksa lokasi yang dikatakan mempunyai bijih besi berkenaan.
Mangsa mendapati tiada bijih besi di situ menyebabkan dia mahu menuntut kembali wangnya namun mendakwa suspek sentiasa mengelak daripada bertemu untuk menyelesaikan masalah itu.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
— BERNAMA