Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disahkan positif COVID-19 pada hari ini selepas menjalani ujian saringan semalam.
Informasi tersebut disampaikan oleh pentadbir laman Facebooknya dalam satu kenyataan pagi ini.
“Salam. Pada 19 Jan 2021 Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan telah disahkan positif pada hari ini.
“Kepada mereka yang mempunyai kontak rapat dengan beliau, eloklah melakukan ujian saringan COVID-19.
“Datuk Seri Haji Tajuddin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan beliau. Sekian,” maklum kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga turut disahkan positif COVID-19.
Sumber: Facebook Rasmi Datuk Seri Tajuddin Rahman