WASHINGTON, 30 Julai (Bernama) — Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi pada Rabu berkata memakai pelitup muka akan diwajibkan ketika berada dewan, selepas seorang anggota parlimen diuji positif COVID-19, lapor agensi berita Anadolu.
“Anggota parlimen dan kakitangan diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dewan. Kecuali buat sementara waktu untuk dikenali,” kata Pelosi.
Pengumumannya dibuat beberapa jam selepas Louie Gohmert diuji positif COVID-19. Anggota Republikan Texas itu sering kali enggan memakai pelitup muka.
Pelosi berkata mereka yang tidak memakai pelitup muka tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan dan pelitup muka turut disediakan di pintu masuk untuk mereka yang terlupa membawanya.
Gohmert diuji positif semasa ujian saringan kesihatan di Rumah Putih sebelum mengadakan lawatan ke Texas dengan Presiden Donald Trump.
Mario Diaz-Balart diuji positif COVID-19 pada Mac, menjadi anggota parlimen pertama yang dijangkiti virus itu.
Sejak itu, sekurang-kurangnya tujuh anggota parlimen dijangkiti virus berkenaan, yang setakat ini menjangkiti lebih 4.3 juta orang dan meragut 150,000 nyawa di seluruh AS.
Sumber: BERNAMA