
Ahli Astronomi Saksikan Detik Pembentukan Sistem Solar Buat Kali Pertama
Sekumpulan ahli astronomi mengumumkan bahawa mereka telah menyaksikan detik awal pembentukan planet di sekeliling sebuah bintang yang berada jauh dari Bumi buat pertama kali, lapor AFP.
Pemerhatian ini sekali gus memberikan petunjuk baharu tentang bagaimana proses pembentukan sistem suria kita terbentuk.
Sistem planet baharu berkenaan sedang terbentuk di sekeliling bintang muda, HOPS-315 yang menyerupai Matahari pada usia mudanya. Sistem tersebut terletak kira-kira 1,300 tahun cahaya dari Bumi di Nebula Orion.
Bintang-bintang muda kebiasaannya dikelilingi oleh cincin besar yang terdiri daripada gas dan debu, dikenali sebagai cakera protoplanet. Cakera ini merupakan kawasan planet-planet terbentuk.
Di dalam cakera yang berpusar ini, terdapat mineral kristal yang mengandungi bahan kimia silikon monoksida. Bahan ini boleh bergumpal antara satu sama lain, berkembang menjadi objek bersaiz beberapa kilometer dikenali sebagai planetesimal. Ia kemudiannya membentuk planet yang sempurna.
Mineral kristal menjadi asas kepada pembentukan teras Bumi dan Musytari yang dipercayai telah terperangkap di dalam meteorit purba.
Pengarang utama kajian dari Universiti Leiden di Belanda, Melissa McClure, berkata ini merupakan pemerhatian kali pertama bagi fenomena berkenaan.
”Buat pertama kali, kami telah mengenal pasti detik terawal pembentukan planet bermula di sekeliling bintang selain Matahari,” ujarnya.
Setelah menemukan pembentukan sistem berkenaan, pasukan penyelidik kemudiannya menggunakan teleskop ALMA milik Balai Cerap Selatan Eropah di Chile bagi menentukan lokasi sebenar isyarat kimia tersebut dikesan.
Penyelidik mendapati mineral berkenaan terkumpul di satu bahagian kecil di dalam cakera tersebut. Ia menyerupai tali pinggang asteroid yang mengelilingi Matahari.
Penemuan ini sekali gus membolehkan para saintis meneliti secara langsung proses yang mungkin telah melahirkan planet Bumi.
Pengarang bersama dari Universiti Purdue di Amerika Syarikat, Merel van ‘Hoff berpandangan pembentukan sistem berkenaan seumpama menyaksikan pembentukan sistem suria kita.
”Kami sedang menyaksikan satu sistem yang kelihatan seperti sistem suria kita ketika ia baru mula terbentuk,” ulasnya.
Sumber: AFP
BACA: Arab Saudi Larang Kedai Runcit, Kiosk Jual Produk Tembakau
BACA: Ramai Buat, Perlu Ke Tekan Butang “Push Start” 3 Kali?