Ahli Arkeologi Temui Seni Gua Tertua Dunia Di Indonesia
Arkeologi menjadi salah satu bidang penting yang mampu membongkar sejarah atau peninggalan pada zaman dahulu kala.
Melalui pelbagai penemuan dan kajian yang dijalankan ke atas rangka, batu-batuan atau apa sahaja objek penting, kita dapat melihat semula kehidupan atau peradaban terdahulu.
Baru-baru ini, seni lukisan batu berusia sekurang-kurangnya 67,800 tahun telah ditemui di sebuah gua di Pulau Muna, Tenggara Sulawesi, Indonesia.
Penyelidikan itu telah dijalankan oleh Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN), Universiti Griffith dan Universiti Southern Cross (Australia).
Penemuan tersebut juga telah diterbitkan dalam jurnal saintifik antarabangsa Nature, dengan tajuk "Seni batu sekurang-kurangnya 67,800 tahun yang lalu di Sulawesi".
BRIN menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa penemuan terbaru itu meletakkan Indonesia sebagai salah satu pusat terpenting dalam sejarah awal seni simbolik dan pelayaran manusia moden.
Kredit: BRINLukisan gua tertua dunia
Penemuan tersebut merupakan seni batu tertua yang tarikhnya berjaya ditentukan dengan tepat. Ia sekaligus memberikan bukti langsung bahawa manusia sengaja menyeberangi lautan selama hampir 70,000 tahun.
Seni gua itu boleh dianggap sebagai yang tertua di dunia pada ketika ini. Penyelidik di Pusat Penyelidikan Arkeometri BRIN, Adhi Agus Oktaviana mendedahkan bahawa usia minimum seni batu Pulau Muna adalah 16,600 tahun lebih tua daripada seni batu Maros-Pangkep yang ditemui sebelum ini.
Ia juga, 1,100 tahun lebih tua daripada cap tangan Sepanyol yang sebelum ini dikaitkan dengan Neanderthal dan dianggap sebagai seni gua tertua di dunia.
Menurutnya lagi, usia seni batu itu ditentukan menggunakan teknik pentarikhan laser-ablation uranium-series (siri LA-U) pada lapisan kalsit mikroskopik yang menutupi lukisan gua.
Hasil analisis mendapati had umur minimumnya adalah 67,800 tahun.
Penemuan ini juga mengesahkan bahawa Wallacea bukan sekadar laluan ke Australia, tetapi habitat utama bagi manusia moden awal.
“Besar kemungkinan bahawa pelukis karya ini merupakan sebahagian daripada populasi yang kemudiannya menyebar lebih jauh ke timur dan akhirnya tiba di Australia,” kata Adhi.
Kredit: BRINDalam pada itu, penemuan terbabit turut mengukuhkan model kronologi yang panjang, yang menyatakan bahawa manusia sampai ke tanah besar Sahul (Australia - Papua) sekurang-kurangnya 65,000 tahun yang lalu.
"Penemuan ini memberikan sokongan kuat bahawa nenek moyang Orang Asli Australia berada di Sahul pada atau sebelum 65,000 tahun yang lalu," tambah Adhi.
Lebih menarik, penyelidikan ini memberikan bukti langsung tertua tentang manusia moden di laluan migrasi utara ke Sahul, yang melibatkan pelayaran laut antara Kalimantan (Borneo) dan Papua, iaitu sebuah wilayah yang sehingga kini masih kurang diterokai secara arkeologi.
Kredit: BRIN“Penemuan ini menunjukkan bahawa Sulawesi merupakan salah satu pusat budaya seni tertua dan paling berterusan di dunia, dengan akar umbi sejak fasa terawal penempatan manusia di rantau ini,” kata salah seorang penyelidik utama, Prof. Maxime Aubert.
Susulan penemuan tersebut, para penyelidik menyeru agar perlindungan kawasan karst yang mengandungi tapak seni batu purba menjadi bahagian penting dalam perancangan ruang dan dasar pengurusan sumber asli di negara itu.