Agong Nasihat Seluruh Rakyat Malaysia Bertenang & Jaga Kesihatan Diri

Nur Adnin

PUTRAJAYA, 23 Sept – Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan pakar perubatan Insitut Jantung Negara (IJN).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Tun Daim Zainuddin; jemaah menteri-menteri kabinet termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mendoakan kesejahteraannya.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menasihati rakyat untuk bertenang dan jaga kesihatan diri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

“Sehubungan itu, Baginda turut bertitah agar semua pihak mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama, semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Baginda turut mengajak seluruh rakyat negara ini untuk bersamanya mendoakan agar Malaysia terus dilindungi daripada segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan, tambah kenyataan itu lagi.

Sumber: BERNAMA