
Istana Negara memaklumkan keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ke Doha, Qatar untuk sesi lawatan khas selama enam hari yang bermula hari ini.
Menurut kenyataan media, lawatan khas ini merupakan persilaan peribadi daripada Emir Qatar, Yang Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani bersempena temasya Piala Dunia Bola Sepak (FIFA) Qatar 2022.
Selain persilaan menonton perlawanan separuh akhir dan akhir Piala Dunia, YDP Agong turut akan melakukan kunjungan hormat dan beberapa perjumpaan bersama Yang Mulia Sheikh Tamim. Baginda juga akan menerima mengadap beberapa pemimpin tertinggi Qatar yang lain.
Dalam lawatan khas ke Qatar, Baginda dilaporkan akan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar.
Istana Negara memaklumkan bahawa YDP Agong dijangka akan berangkat pulang ke Malaysia pada 19 Disember 2022.
Untuk makluman, jemputan peribadi Yang Mulia Sheikh Tamim telah disampaikan semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 12 Ogos 2022 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Tuan Yang Terutama Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani.
Sebelum ini, YDP Agong merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA bermula dari 2015 sehingga 2019.
Justeru, Baginda telah melepaskan jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan berikutan daripada perlantikannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke- 16 pada awal tahun 2019.
BACA: Skuad England Bawa Pulang ‘Dave’ Si Kucing Qatar, ‘Ganti’ Trofi Piala Dunia
Sumber: Bernama via Twitter