Agensi Wilayah Persekutuan Buka Pintu Kepada SPRM Buat Pertama Kali
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mengambil pendirian tegas bahawa rasuah dan salah guna kuasa tidak mempunyai tempat dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, JWP memperkukuhkan kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mempertingkatkan keupayaan pengesanan, pencegahan dan tindakan terhadap sebarang salah laku integriti.
Buat pertama kali, agensi di bawah JWP membuka akses kerjasama yang lebih menyeluruh kepada SPRM sebagai langkah proaktif memastikan sistem pentadbiran sentiasa tertakluk kepada semakan, pemantauan dan penambahbaikan berterusan.
Langkah ini mencerminkan komitmen jelas bahawa usaha memerangi rasuah bukan sekadar dasar tetapi dilaksanakan melalui tindakan struktur, sistem dan operasi. Sebagai langkah awal, tindakan segera akan dilaksanakan seperti berikut:
a) Memeterai Nota Kerjasama antara JWP dengan SPRM untuk mengadakan kerjasama secara sistematik dan berkesan bagi memperkukuh tatakelola, integriti dan usaha pencegahan rasuah dalam pentadbiran JWP termasuk agensi-agensi di bawah seliaannya ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP), Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP)
b) Bidang kerjasama melalui Nota Kerjasama tersebut meliputi perkongsian maklumat, kepakaran dalam pengesanan serta pengesahan aduan atau salah laku di samping penyaluran maklumat konsisten berkaitan jenayah rasuah.
Turut merangkumi khidmat nasihat bagi menambah baik sistem serta tatacara kerja yang lebih berkesan sekali gus memperkukuhkan pengurusan integriti.
Selain itu, ia melibatkan perkongsian strategik merangkumi latihan peningkatan kemahiran serta kompetensi dalam pencegahan jenayah rasuah termasuk usaha memperkasakan penguatkuasaan, tadbir urus, integriti serta agenda antirasuah.
Usaha perkukuh sistem dan integriti
Di samping itu, pihak JWP dan agensi juga sedang melaksanakan perkara-perkara di bawah dalam memperkukuh tadbir urus dan tatakelola:
a) Pelaksanaan pusingan kerja (job rotation) yang lebih kerap khususnya bagi pegawai lapangan dan jawatan sensitif untuk mengurangkan risiko ancaman keakraban (familiarity threat)
b) Penambahbaikan tatacara pengurusan perolehan melalui pelaksanaan proses sebut harga dan tender secara sepenuhnya dalam talian (end-to-end)
c) Pelaksanaan penggunaan kamera badan (body-worn) oleh anggota penguatkuasa semasa operasi lapangan secara berfasa mulai suku keempat 2026 bagi memastikan pematuhan kepada prosedur pengendalian standard (SOP) semasa operasi penguatkuasaan dilaksanakan serta sebagai bukti visual dan audio jika berlaku pertikaian atau tuduhan salah laku oleh atau terhadap anggota penguatkuasa
d) Penilaian semula penarafan risiko Pejabat PTGWP supaya pegawai SPRM boleh dipertimbangkan untuk ditempatkan di Unit Integriti Pejabat PTGWP.
Usaha mempromosikan ketelusan ini akan memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam. Membuka pintu awal kepada SPRM menunjukkan keberanian JWP bahawa tiada apa untuk disorok.