Selepas beberapa kali melalui detik yang sukar di hospital, Adik Ainul Mardhiah kini kembali mampu menjalani kehidupan asal seperti kanak-kanak lain.
Mungkin berkat hasil iringan doa rakyat Malaysia, InsyaAllah ia terus membuatkan Adik Ainul terus cekal melawan penyakit yang dihidapinya.
Baru-baru ini, sebuah video yang dimuat naik oleh ibu Ainul, Nurul Erwani di InstaStory memaparkan kelibat kanak-kanak itu yang sudah keluar dari hospital.
Gambar: InstaStory nrlerwaniBerdasarkan video terbaru yang dikongsikan Nurul Erwani baru-baru ini, Ainul atau nama sebenarnya Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin kelihatan gembira bermain bersama adiknya sewaktu berada di rumah.
Memetik laporan Kosmo!, Ainul Mardhiah sudah dibenarkan pulang ke rumah pada Jumaat lalu selepas tiga minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), maklum Ahmad Safiuddin, bapa kepada kanak-kanak tersebut.
“Alhamdulillah Ainul sekarang dah bersama kami di rumah, doktor benarkan keluarkan hospital pada Jumaat lalu.
“Keadaan Ainul juga semakin stabil dan sihat,” jelasnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Terdahulu, doktor mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengalami jangkitan pada hampir seluruh bahagian badannya.
Memetik laporan Siakap Keli sebelum ini, ketika itu Nurul Erwani memuat naik keadaan Adik Ainul yang menyayat hati kerana badannya dipenuhi dengan wayar.
Difahamkan, Ainul ketika itu ditempatkan di PICU dan doktor menjelaskan bahawa keadaan yang dihadapi oleh kanak-kanak itu agak kritikal dan tenat.
“Ainul berada di PICU sekarang (ketika itu). Doktor ICU beritahu keadaan Ainul kali ni agak kritikal dan tenat. Satu badan penuh dengan wayar dah anak mama ni,” kata Erwani dalam kenyataan beberapa minggu lepas.
Tambah Erwani, dia memohon agar anaknya itu kuat menghadapi penyakit yang sedang dialami.
“Mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah ni jadi lagi kuat untuk lawan penyakit ni,” jelasnya lagi dalam perkongsian tersebut sebelum ini.
Sumber: Kosmo!, InstaStory nrlerwani