Salah satu zakat yang termaktub dalam syara’ bagi umat Islam ialah zakat emas. Namun jika emas itu telah digadai, apakah masih dikenakan zakat?
Emas merupakan barangan berharga yang mempunyai nilai pasaran tinggi dan diminati orang ramai, khususnya golongan wanita dengan menjadikannya sebagai barang perhiasan.
Nilai emas juga bergantung dengan pasaran semasa kerana ada waktu harganya tinggi dan ada ketika nilainya susut. Selain itu, emas juga merupakan salah satu aset bagi jangka masa panjang.
Sesetengah orang lebih suka untuk menyimpan emas berbanding wang tunai. Namun ia juga mempunyai syarat berat yang telah dihadkan untuk penyimpanan. Jika melebihi berat tertentu, mereka perlu mengeluarkan zakat.
Namun, timbul persoalan, sekiranya emas milik kita sudah digadai, adakah kita masih perlu untuk membayar zakat?
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian yang dibawakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Adakah Dikenakan Zakat Pada Emas Yang Telah Digadai?
Gambar: Pejabat Mufti Wilayah PersekutuanSoalan
Assalamualaikum, saya ada persoalan berkaitan dengan zakat emas yang telah saya cagarkan. Adakah diwajibkan ke atas saya untuk mengeluarkan zakat sekiranya sudah cukup tempoh setahun. Mohon pencerahan daripada Pejabat Mufti Wilayah. Sekian terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Emas yang dicagar atau digadai wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup nisabnya (kadar yang diwajibkan zakat) mengikut perkiraan yang ditentukan oleh pejabat zakat negeri dan telah mencapai haul (tempoh setahun).
Huraian Jawapan
Zakat merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Kewajipan menunaikannya adalah untuk memenuhi hak bagi golongan asnaf yang memerlukan. Hal ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang menyeluruh termasuk dalam membantu dan melindungi umat manusia. Bahkan Allah SWT menjadikan zakat sebagai pembersih dosa dan menyucikan diri daripada keburukan akhlak. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Taubah, 103)
Berbalik kepada persoalan di atas, cagaran atau gadaian menurut bahasa arab disebut sebagai al-Rahnu. Menurut istilah fiqh, al-Rahnu adalah meletakkan sesuatu yang barang berharga sebagai jaminan hutang. Konsep ini dijelaskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:
جَعْل عَيْنٍ مَالِيَّةٍ وَثِيقَةً بِدَيْنٍ يُسْتَوْفَى مِنْهَا أَوْ مِنْ ثَمَنِهَا إِذَا تَعَذَّرَ الْوَفَاءُ
Maksudnya: Menjadikan sesuatu yang berbentuk harta sebagai perjanjian (jaminan) hutang bagi melangsaikannya atau daripada nilainya apabila berlaku kesukaran untuk menjelaskannya
Nabi SAW juga pernah melakukan cagaran baju besinya kepada seorang yahudi dan ini menunjukkan tentang keharusan untuk melakukannya. Perkara ini diceritakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا إِلَى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW pernah membeli makanan secara tangguh daripada seorang yahudi dengan mencagar baju besinya
Riwayat al-Bukhari (2509)
Zakat emas dan perak wajib dikeluarkan oleh setiap individu muslim yang merdeka apabila memilikinya dengan pemilikan yang sempurna, mencapai nisab dan mencukupi tempoh seperti yang telah ditetapkan syarak.
Begitu juga dalam permasalahan cagaran emas atau perak, pencagar wajib mengeluarkan zakat apabila sudah memenuhi syarat-syaratnya. Ini kerana emas dan perak yang dicagarnya itu masih lagi hak milik sempurna bagi pencagarnya. Imam al-Nawawi menyebut tentang perkara ini di dalam kitabnya:
لَوْ رَهَنَ مَاشِيَةً أَوْ غَيْرَهَا مِنْ أَمْوَالِ الزَّكَاةِ وَحَالَ الْحَوْلُ فَطَرِيقَانِ الْمَذْهَبُ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ وُجُوبُ الزَّكَاةِ لِتَمَامِ الملك
Maksudnya: Sekiranya seseorang itu mencagar haiwan ternakan atau sesuatu harta zakat yang selainnya, apabila cukup haul maka terdapat dua jalan periwayatan di dalam mazhab, menurut pandangan jumhur ulama, wajib dikeluarkan zakat atas sebab pemilikan sempurna.
Tambahan lagi, Imam al-Nawawi menyatakan di dalam karyanya, al-Rahnu atau cagaran hanya berlaku dalam transaksi hutang. Oleh itu, dalam mazhab al-Syafi’i hutang tidak menghalang kewajipan mengeluarkan zakat.
Oleh itu berdasarkan kepada perbincangan di atas, emas yang dicagar atau digadai wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup nisabnya (kadar yang diwajibkan zakat) mengikut perkiraan yang ditentukan oleh pejabat zakat negeri dan telah mencapai haul (tempoh setahun).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan