“Ada tangan yang sentiasa memastikan saya tidak sendirian,” – PM Anwar
Dalam kesibukan tugas sebagai pemimpin negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat menzahirkan penghargaan terhadap isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menerusi satu hantaran di Facebook sebentar tadi, Anwar berkongsi sekeping gambar beliau berjalan sambil ditemani sosok yang sentiasa menjadi tulang belakang beliau itu.
“Di setiap langkah, ada tangan yang sentiasa memastikan saya tidak sendirian. Love, Azizah,” tulis beliau ringkas, disertakan dengan emoji hati dan tanda pagar #tulangrusuk.
Gambar: Pejabat Perdana MenteriDalam satu lagi perkongsian sebelum ini, kelihatan juga Anwar memuat naik foto beliau menikmati masa rehat bersama cucu-cucunya.
Di ruangan komen, ramai pengguna media sosial menitipkan doa agar Perdana Menteri diberi kesembuhan.
Tidak kurang juga yang menasihati beliau agar terus menjaga kesihatan dan memberi ruang kepada diri untuk berehat secukupnya.
Terdahulu, Perdana Menteri terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke negeri Pahang atas faktor kesihatan.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pembatalan pada saat akhir itu dibuat atas nasihat pasukan perubatan selepas beliau mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakan terbatas.
“Atas nasihat doktor, YAB Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi,” tulis kenyataan tersebut sebelumnya.
BACA: Perjanjian Timbal Balik Malaysia-AS Tidak Bercanggah Peruntukan Perlembagaan – PM Anwar
Sumber: Anwar Ibrahim/FB