Ada Sebab Ronaldo Masih Kekal Dalam Skuad Portugal – Roberto Martinez
Pengurus skuad kebangsaan Portugal, Roberto Martinez, menjelaskan sebab mengapa Cristiano Ronaldo masih kekal sebagai pemain utama dan tidak boleh digantikan dalam pasukan walaupun sudah berusia 40 tahun.
Ronaldo yang bakal mencecah usia 41 tahun pada Februari, masih mengetuai pasukan sebagai kapten dan dijangka memainkan peranan besar pada Piala Dunia 2026.
Peranan besar Ronaldo dalam kelayakan Piala Dunia
Ronaldo terus membuktikan pengaruhnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia apabila menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan. Portugal menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas dengan empat kemenangan daripada enam perlawanan.
Penyerang Al-Nassr itu tidak beraksi dalam perlawanan terakhir akibat digantung selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Republik Ireland.
Bagaimanapun, FIFA kemudiannya menangguhkan baki dua perlawanan penggantungan. Ini membolehkan Ronaldo kembali beraksi dalam perlawanan pembukaan Portugal di Kumpulan K pada Piala Dunia nanti.
Mengapa Ronaldo masih ‘undisputed starter’?
Menurut Martinez, keputusan untuk terus menurunkan Ronaldo bukanlah atas faktor reputasi semata-mata. Sebaliknya, pasukan kejurulatihan sentiasa menilai tiga aspek penting.
“Sikap. Kami sentiasa menilai tiga tonggak utama, iaitu bakat, pengalaman dan sikap yang mampu dibawa olehnya kepada skuad Portugal.
“Tahap disiplin dan keinginan tinggi untuk membantu pasukan adalah sebab mengapa kapten pasukan kebangsaan ini masih kekal dalam senarai utama. Rasa lapar untuk menjadi yang terbaik itu sangat ‘berjangkit’.
“Menjaringkan 25 gol dalam 30 perlawanan sebagai penyerang sudah cukup membuktikan bahawa sumbangannya di atas padang masih sangat besar untuk pasukan kebangsaan,” jelas Martinez.
Untuk info, Martinez mengambil alih tugas sebagai pengurus Portugal pada Januari 2023 menggantikan Fernando Santos.
Kini hampir tiga tahun memimpin pasukan, beliau menyatakan komitmen untuk membina pasukan yang stabil dalam tempoh jangka panjang.
“Saya sentiasa bekerja dengan visi jangka panjang. Kami mahu keputusan yang bukan sahaja memberi kesan sekarang tetapi untuk masa depan 20 tahun akan datang.
“Setakat ini, kami telah bermain 36 perlawanan dengan keseimbangan prestasi yang baik dan konsisten,” tambahnya.
BACA: Bekas Pemain Bola Sepak Meninggal Dunia, Jatuh Dari Lif Kerusi
Sumber: Goal.com