Masalah air bukanlah perkara yang asing lagi bagi penduduk yang tinggal di Selangor. Ada saja masalah air yang berlaku sehingga menjejaskan ramai pihak yang tinggal di negeri tersebut.
Baru-baru ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd mengeluarkan notis bahawa gangguan bekalan air akan berlaku kepada 998 kawasan di sekitar Lembah Klang termasuklah wilayah Petaling, Kluala Lumpur dan Shah Alam. Gangguan bekalan air ini akan bermula dari jam 9 pagi pada 13 Oktober dan dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam, 16 Oktober 2021.
Air Selangor memberitahu bahawa masalah gangguan bekalan air ini berlaku disebabkan oleh kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fara 1 (LRA SSP1) terpaksa dihentikan.
Tambahnya lagi, kerja-kerja penambahbaikan ini sepatutnya dilakukan pada tahun 2019 dan 2020 jika mengikut jadual asal. Namun begitu, perancangan tersebut tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar. Pelaksanaan projek penambahbaikan ini juga telah mendapat persetujuan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Negara (SPAN) demi kebaikan dan keselesaan para pengguna pada masa hadapan.
Oleh itu, pengguna yang terjejas dinasihatkan oleh Air Selangor untuk menyediakan bekalan air secukupnya disamping menggunakan air secara jimat dan berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan iar tersebut.
Sumber: Astro Awani