Ada Pihak Luar Yang Tidak Suka Indonesia Kuat – Prabowo
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan bahawa Indonesia merupakan sebuah negara yang kuat dan berkeupayaan dalam menangani bencana alam, khususnya di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang kabinet paripurna pada Isnin (15 Disember 2025), sambil menyatakan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu, termasuk dari luar negara, yang tidak senang melihat Indonesia menjadi sebuah negara yang kuat.
“Ada kecenderungan segelintir pihak, mungkin kerana kepentingan politik, atau secara terus terang saya melihat ada pengaruh kuasa luar yang sejak dulu tidak suka Indonesia dan tidak mahu Indonesia menjadi kuat,” katanya.
Menurut Prabowo, keupayaan Indonesia dalam menguruskan bencana terbukti melalui tindakan pantas kerajaan sejurus kejadian berlaku di tiga wilayah berkenaan.
Jelasnya, puluhan ribu anggota telah dikerahkan dalam tempoh awal bagi membantu operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa.
“Kita boleh lihat buktinya. Pada peringkat awal bencana, puluhan ribu anggota telah dikerahkan. Kini mungkin ada pihak yang berasa bimbang kerana rakyat sendiri dapat melihat bahawa kerajaan Indonesia sebenarnya kuat,” ujarnya.
“Saya ditelefon ramai pemimpin negara…” – Prabowo
Dalam pada itu, Prabowo turut memaklumkan bahawa beliau menerima banyak panggilan daripada pemimpin dan ketua negara asing yang menyatakan hasrat untuk menghantar bantuan ke wilayah Sumatera.
Namun, beliau dengan penuh penghargaan memaklumkan bahawa Indonesia mampu menangani keadaan tersebut sendiri.
“Saya ditelefon ramai pemimpin negara yang mahu menghantar bantuan. Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka, tetapi saya sampaikan bahawa Indonesia mampu mengatasinya,” katanya lagi.
Pada kesempatan sama, Prabowo merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat dan daerah, agensi berkaitan serta para sukarelawan yang terlibat secara langsung dalam usaha menangani bencana.
“Saya bersyukur mempunyai rakan-rakan dan saudara-saudara yang bekerja keras. Jika rakyat mengucapkan terima kasih kepada saya, saya anggap itu adalah penghargaan kepada seluruh pasukan yang terlibat,” tambahnya.
BACA: Tabiat Minum Kopi, Makanan Bergoreng Didakwa Punca Penggondolan Hutan
Sumber: Kompas.com