Memetik daripada laporan berita tempatan, satu mesyuarat telah diadakan di selatan Filipina dipercayai berhubung rancangan untuk menceroboh Sabah.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani berkata pihaknya telah mengambil maklum laporan media bahawa pihak dari Filipina sedang merancang untuk menceroboh Sabah.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah menghadapi sebarang kemungkinan atau ancaman pencerobohan. Komitmen dalam perkara ini akan diberikan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah.
Tambahnya lagi, PDRM turut mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan diterima mengenai pelan yang dimaksudkan dan ianya dipercayai maklumat yang dimanipulasikan oleh pihak-pihak mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat antara negeri Sabah dan wilayah selatan Filipina.
Oleh itu, polis menjamin bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal dan elemen-elemen PDRM sentiasa dalam keadaan siap siaga pada setiap masa untuk menangani sebarang ancaman berlaku.
Bagaimanapun, usaha ditingkatkan bagi mengesan dan mengenal pasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan. Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas.


Sumber: PDRM