Pendakwah dermawan, Ustaz Ebit Lew dan pasukannya ketika ini sedang sibuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Pahang.
Menerusi satu hantaran terkini di Facebook, beliau sebentar tadi berpeluang membantu seorang mangsa warga emas yang uzur dan perlu mendapatkan rawatan.
“Sayu hati tadi masa dalam perjalanan ke Kampung Mambang, Pahang ada bot tahan saya minta bantuan, tanya bagaimana nak bawa keluarga ke Hospital Kuantan.
“(Beliau) sakit tua dan parkinson. Kena naik bot dan kereta, sebab rumah air dah naik dan jalan semua dah berair.
“Saya terus dukung ke bot dan dukung ke kereta dengan dibantu ahli keluarga,” katanya dalam hantaran tersebut.
Gambar: Ustaz Ebit LewDi sebalik kesibukan menguruskan warga emas tersebut, Ustaz Ebit sempat memerhatikan situasi sekeliling yang teramat pilu.
Jelasnya, keadaan agak menyedihkan apabila ramai lagi mangsa banjir yang perlu mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Dalam ujian banjir ini ada ramai tadi saya tengok berulang-alik ke hospital kena naik bot.
“Klinik banyak tenggelam. Jururawat bertugas dekat pusat bantuan,” tambahnya.
Di samping itu, beliau turut menzahirkan rasa kasihnya kepada insan tua tersebut, malah turut ‘sempat’ membayangkan bagai mendukung ibu kandung sendiri.
“Baik makcik ini. Sempat minta doa makcik ini buat saya. Macam dukung mak sendiri. Rindu arwah mak..semoga semua dalam keadaan selamat..” luahnya sebak.
Sumber: Ustaz Ebit Lew