Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bahawa telah menerima sebanyak 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital yang dijangka akan dimiliki pada suku pertama 2022.
Berada di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, permohonan itu telah dibuka selama enam bulan dan berakhir pada 30 Jun yang lalu.
Permohonan itu dikatakan telah dibuat oleh pihak bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan beberapa kerajaan negeri, lapor Bernama.
Baru ‘bertapak’ di Malaysia, pasti masih ramai yang tidak tahu dan tertanya mengenai bank digital ini dan bagaimana ia berfungsi. Oleh itu, SK kongsikan serba sedikit mengenai bank digital ini yang perlu korang tahu.
Apa itu bank digital?
Untuk pengetahuan korang, bank digital menawarkan aktiviti perbankan yang lebih kurang sama seperti bank tradisional atau fizikal iaitu:
Pada dasarnya, ia kelihatan seperti perkhidmatan online banking dan mudah alih kerana membolehkan perkhidmatan perbankan dapat diakses di mana sahaja korang berada dengan menggunakan telefon pintar atau peranti elektronik masing-masing.
Ia juga melibatkan proses dan perkhidmatan secara automatik yang berasaskan web termasuk API yang membolehkan bank untuk menyampaikan produk perbankan dan menyediakan pelbagai transaksi.
Dalam erti kata lain, korang tidak perlu lagi bersusah payah keluar rumah untuk beratur di cawangan-cawangan bank, mengisi borang dan melakukan aktiviti perbankan dalam tempoh waktu yang lama.
Bank digital dapat menarik pelanggan baru dengan lebih mudah berbanding bank tradisional kerana ia melibatkan proses perbankan tanpa kertas atau dokumen. Setiap bukti pengenalan diri, pekerjaan dan alamat yang dimuat naik di dalam bank digital akan disahkan dengan mudah dan cepat.
Tidak cuma itu, pelanggan bank juga dapat mengakses akaun masing-masing setiap hari dan melakukan semua jenis transaksi di hujung jari sahaja. Ia memberikan pengalaman perbankan yang lebih memuaskan serta membolehkan orang ramai ‘mengawal’ urusan kewangan sendiri.
Menurut Temenos, revolusi ke arah digital semakin memberangsangkan apabila kebanyakan bank pada ketika ini ‘menyuarakan’ untuk beralih kepadanya agar sesuai dengan kehendak pengguna masa kini.
Ada persamaan ke dengan online banking?
Disebabkan oleh perkataan ‘digital’, mungkin ada yang menyangka bahawa ia sama dengan online banking, tetapi pada hakikatnya ia berbeza. Bank digital mempunyai fungsi yang lebih banyak daripada online banking.
Manakan tidak, online banking lebih mengutamakan deposit jarak jauh, pemindahan wang, pembayaran bil dan pengurusan akaun dalam talian. Pun begitu, bank digital pula merangkumi pendigitan setiap program dan aktiviti yang dilakukan oleh institusi kewangan dan pelanggan mereka.
Ia merupakan teknologi masa hadapan yang lebih ‘mendalam’ daripada online banking.
Seperti yang telah dinyatakan di atas, bank digital ini bukan sahaja menarik perhatian bank-bank konvensional tetapi juga institusi dan pihak lain yang sebelum ini tidak pernah terlibat dalam dunia perbankan.
Bank digital yang terbesar di dunia adalah Nubank yang berpusat di Sao Paulo, Brazil dan kini mempunyai sekitar 35 juta pelanggan dengan nilai kewangan sebanyak USD 25 bilion.
Sumber: Veriff, Temenos, Forbes Advisor