ACC 2023: Baki 50 Meter Terakhir, Saya Yakin Perlumbaan Adalah Milik Saya – Azizulhasni Awang
Beberapa hari lalu, jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai sekali gus menjadikan ia pingat ke-12 sepanjang kariernya.
Pelumba yang diberi jolokan The Pocket Rocketman itu juga meraih pingat emas yang ke-11 pada Jumaat lepas, menurut Bernama.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau mendedahkan perkara yang memberinya semangat dan strategi yang digunakan dalam perlawanan tersebut yang membuatkannya mahu memegang gelaran juara.
Ikuti perkongsian penuh beliau di bawah ini.
Gambar: FB Azizulhasni AwangMemasuki selekoh keempat sebelum lap terakhir saya dengar laungan loceng dibunyikan. Saya dengar sorakan menggila dari semua penonton yang hadir. Jarang benar Velodrome Nilai ini bergegar dengan sorak teriak dari orang ramai, kali terakhir seingat saya adalah ketika Sukan Sea KL 2017 dulu.
Sorakan sebegini memang akan diresapkan ke seluruh pelusuk tulang belulang dan isi daging merah saya. Lagi kuat sorakan lagi mencanak meter kegilaan saya. Nyah kau penat, nyah kau kaki berat. Saya toleh ke belakang sekali lagi, nampak susuk hitam legam di belakang.
“Ahh itu my bro (Shah ‘the terminator’ Firdaus). Bagus Shah bagus. Hang on there bro,” bisik jauh di sudut hati saya.
Biasanya di dalam keadaan genting sebegitu saya akan berhati-hati untuk imbangi peluang dan risiko. Kalau ditanya sebelum perlumbaan, saya akan memilih untuk memecut meninggalkan pihak lawan pada selekoh ketiga (saya ada jelaskan sebabnya di Youtube taktik keirin selepas Olimpik dahulu). Namun kali ini saya memilih taktik yang berlainan. Saya mengambil risiko. Saya mula melakukan pecutan seawal satu pusingan. Sejurus selepas melepasi garisan permulaan saya sudah cuba memecut ke hadapan.
Kohei yang menyedari saya sedang datang dari belakang cuba meningkatkan lagi kelajuannya. Jangan diberikan cabaran, kerana itu kegemaran saya. Saya memecut demi memecut. Saya nampak selekoh ketiga, selekoh di mana saya akan biasanya masuk hantu.
Dari selekoh ketiga ke selekoh terakhir, setiap tunjalan kaki dan keringat yang turun ke pedal itu adalah mewakili setiap memori saya di awal pembabitan di dalam dunia lumba basikal.
Seorang anak muda yang tidak mempunyai saiz fizikal yang sesuai untuk pergi jauh di dalam sukan prestasi tinggi. Seorang anak muda yang amat bangga dengan identitinya dari Dungun. Seorang anak remaja yang terpaksa tinggalkan ibu bapa dan kampung halaman seawal usia 16 tahun.
Melepasi selekoh terakhir. Saya teringat kata-kata dari jurulatih John Beasley.
“I have never seen someone that have a strong mental strength like you. After all the dramas that you have need to go through, you have never let us down. Small man with a big heart,” katanya.
Saya teringat kata-kata dari jurulatih pertama saya di Dungun dulu, arwah Rozimi Omar.
“Jijoe, biar ah guane pong kita berjaya dalam hidup ni, jangan lupe asal usul kite deh. Kita ni bukang orang senang, nok kene keje kerah sokmo. Kalau pegang hok tu, insyaallah berjaya sokmo,” ujarnya.
Saya teringat pesan dari isteri yang tersayang.
“Buat kerana Allah sayang, dan kitorang semua always behind you,” katanya.
Berbaki 50 meter terakhir, saya penuh yakin yang perlumbaan adalah milik saya, saya telah mendominasi perlumbaan. Apabila saya telah menggunakan gear terakhir, tidak mungkin ada yang bisa memotong. Andai kata ada yang bercita-cita untuk memotong saya di saat ini, harap maaf kerana sudah terlambat. Kerana di saat ini saya sudah menjadi raksasa.
Tinggal 30 meter terakhir, keadaan sudah selesa. Saya mula membuka deria pendengaran kepada dunia nyata. Saya dengar jeritan dan teriakan penonton-penonton yang hadir. Seperti histeria. Gila. Betul-betul melonjakkan semangat juang saya. Saya suka, saya terharu, saya bangga. Semua bersatu demi memberikan sokongan padu kepada saya.
Baki 20 meter perlumbaan, dengan sepantas kilat anak mata saya menjeling kiri kanan untuk memeriksa dan pastikan semuanya selamat. Belum lagi sampai ke garisan penamat akan tetapi saya sudah menjadi juara. Usaha tidak pernah mengkhianati hasil.
Pada saat dan ketika ini, tak kisahlah siapa lawan saya, tak kisah dari mana mereka datang, dan tak kisahlah apa jua yang mereka cuba lakukan. Yang pastinya, mereka tidak akan dapat merampas kemenangan dari the one and only, AzizulAwang , the pocketrocketman.
Sumber: Azizulhasni Awang/Facebook