
Abdul Wahhab Al-Shaibi Dilantik Sebagai Pemegang Kunci Kaabah Ke-78
MAKKAH — Sheikh Abdul Wahhab bin Zain Al-Abidin Al-Shaibi, ahli tertua keluarga Al-Shaiba telah dilantik sebagai penjaga kunci Kaabah yang ke-78, lapor Saudi Gazette.
Majlis penyerahan kunci Kaabah dan Maqam Ibrahim itu telah diadakan di Makkah pada Isnin dengan Syeikh Abdul Rahman bin Saleh Al-Shaibi, anak kepada Syeikh Saleh Al-Shaibi (pemegang kunci sebelum ini), menyerahkan kunci kepada Sheikh Abdul Wahhab.
“Semoga Tuhan memberi saya kejayaan dalam menjalankan tugas ini di bawah pemerintahan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman,” ucapnya selepas menerima kunci itu.
Terdahulu, ketua pemegang kunci pintu Kaabah, Sheikh Dr Saleh bin Zain Al-Abidin Al-Shaibi dilaporkan telah meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Menurut laporan Haramain Info di Instagram, solat jenazah Allahyarham dijalankan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Mu’alla.
Beliau yang merupakan generasi ke-109 Uthman ibn Talha (RA) telah menjadi penjaga kunci tersebut seperti yang telah diamanahkan sejak 16 kurun yang lalu.
Beliau juga merupakan penjaga yang ke-77 dari susur galur keluarga yang sama. Menurut Arab News, hanya ahli keluarga yang paling tua akan dilantik menjadi penjaga kunci ini.
Sheikh Dr Saleh menerima amanah tersebut selepas bapa saudaranya, Abdulqader Taha Al-Shaibi meninggal dunia pada tahun 2013.
Lahir di Mekah, Allahyarham menerima pengajian sehingga ke peringkat kedoktoran dalam Pengajian Islam. Sebagai salah seorang profesor universiti, beliau pernah menulis beberapa buah buku berkaitan agama dan sejarah.
Untuk makluman, penjaga Kaabah (sadin) adalah satu-satunya orang yang memegang kunci Kaabah, dan bertanggungjawab atas segala sesuatu yang berkaitan dengan urusan Baitullah, termasuk menukar kiswa (penutupnya), mencucinya, mewangikannya, membuka dan menutupnya.
Sejak zaman Nabi Muhammad SAW, keluarga Bani Shaiba telah diamanahkan dengan tugas menjaga Kaabah, memegang kuncinya, dan menjaga hal ehwalnya.
Sumber: Saudi Gazette