Seorang lelaki bergelar bapa sedang berjuang untuk hidup selepas dijangkiti virus Covid-19 dari anaknya yang positif selepas mengabaikan nasihat untuk tetap berada di dalam rumah dan tidak keluar berjumpa kawan, lapor Daily Mail.
Lelaki dari Plantation itu kini berada di Unit Rawatan Intensif (ICU) di Wetside Regional Medical Center. Lelaki yang juga berusia 42 tahun itu bersama keluarganya telah diuji positif Covid-19 selepas anaknya yang berusia 21 tahun keluar bersama rakannya.
Beberapa hari kemudian, anaknya telah mengalami simptom selsema dan mengesahkan bahawa salah seorang rakan yang ditemuinya adalah positif Covid-19. Disebabkan itu, dia dipercayai telah menyebarkan virus tersebut kepada seluruh ahli keluarganya dan seorang demi seorang ahli keluarga jatuh sakit.
Isteri kepada lelaki tersebut telah menasihati anak tirinya beberapa kali untuk tetap berada di rumah kerana risiko mendapat jangkitan di luar sangat tinggi terutama ayahnya yang mempunyai masalah obesiti. Kini, lelaki itu berada di hospital selama hampir 3 minggu.
Mendengar kisah itu, rakan-rakan isterinya telah membantu melancarkan kempen GoFundMe untuk mengumpul dana bagi membantunya membiayai kos perubatan yang agak mahal.
Sumber: Dailymail