Sumber: Amal Media

UMRAH: Malaysia Negara Pertama Asia Tenggara Membuka Sempadan Untuk Menunaikan Umrah

Aireena Marizan

Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang pertama membuka sempadan ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah umrah. Lebih 200,000 jemaah dijangka mengerjakan ibadah bagi musim 1443 hijrah. Walau bagaimanapun, SOP akan diperketatkan bagi mewujudkan gelembung umrah pertama.

Syarat asas yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi membenarkan individu menunaikan umrah mestilah berumur 18 tahun dan ke atas yang lengkap dua dos vaksinasi. Namun, ia hanya membabitkan keluaran vaksin Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson. Manakala bagi penerima suntikan Sinovac, individu tersebut perlu mendapatkan suntikan tambahan atau booster keluaran empat syarikat berkenaan.

Menurut Datuk Seri Razali Mohd Sham, penerima suntikan vaksin Sinovac yang ingin mengerjakan umrah boleh mendapatkan booster Pfizer atau AstraZeneca sebelum menunaikan umrah.

Kerajaan Arab Saudi mula menerima permohonan umrah dari luar negara bagi jemaah yang telah divaksin sejak 9 Ogos yang lalu. Arab Saudi juga menetapkan umrah hanya boleh dilakukan sekali dalam tempoh 14 hari dan perlaksanaan tawaf umrah perlu menepati solat waktu yang diluluskan.

Kos umrah dijangka meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus kerana hanya 50 peratus kapasiti pengangkutan yang ditetapkan.

Jangkitan Covid-19 di Arab Saudi amat rendah, sekitar dua angka kes setiap hari. Ia berpotensi untuk negara itu menambah bilangan jemaah.

Sumber: AMALmedia