KUALA LUMPUR, 28 Sept – Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein diarah jalani kuarantin di rumah walaupun saringan awal COVID-19 ketika tiba dari Sabah baru-baru ini negatif.
Jelasnya, beliau ke Sabah sebelum ini berikutan membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) DUN Pitas, Sufian Abdul Karim yang kini disahkan positif COVID-19.
“Saya tahu ada sebahagian daripada jentera BN telah disahkan positif. Saya harap semua yang positif ini tabah dan segera beroleh kesembuhan.
“Biarpun semasa kempen tempoh hari setiap prosedur operasi standard (SOP) telah dipatuhi namun kita berdepan dengan virus yang tidak boleh dilihat. Risiko dijangkiti tetap tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, biarpun sedar risiko masih ada, Hishammuddin berasa kagum akan semangat jentera BN yang sedia berkorban untuk agama, bangsa dan negara.
“Kepada semua yang baru pulang dari Sabah khususnya jentera BN, nasihat saya pastikan jalani saringan COVID-19 dan segera lapor sekiranya terdapat simptom.
“Seperti saya maklum, saya sendiri akan kuarantin diri di rumah. Sama-sama kita bantu usaha KKM tangani penularan wabak ini,” katanya lagi.
Sumber: Hishammuddin Hussein