
PUTRAJAYA, 6 JUN 2024 – Seramai 982 graduan menerima sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen Pertanian bagi tahun 2024 yang telah disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Arthur Joseph Kurup di Putrajaya. Majlis konvokesyen ini adalah untuk meraikan para pelatih tahun 2023 yang telah menamatkan pengajian di pusat latihan bawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Graduan hari ini terdiri daripada 96 orang graduan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), 482 orang graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 337 orang graduan Sijil Pertanian, 43 orang graduan Sijil Veterinar Malaysia dan 24 orang graduan Sijil Perikanan.
Para graduan ini telah mengikuti 9 bidang persijilan kemahiran iaitu Tanaman, Ternakan Ruminan, Ternakan Poltri, Teknologi Perikanan Tangkapan, Akuakultur Marin, Akuakultur Air Tawar, Pengeluaran Padi, Pemasaran dan Pemprosesan Makanan dan tiga persijilan daripada Jabatan di bawah KPKM iaitu Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan.

Program-program pengajian ini ditawarkan di 15 pusat bertauliah seluruh negara. KPKM telah berjaya mengeluarkan seramai 24,801 orang graduan terlatih sejak program ini bermula pada tahun 1969. Pertambahan jumlah tenaga mahir dalam bidang agromakanan dapat mempertingkatkan lagi daya saing industri agromakanan negara di pasaran global seterusnya menjamin kelangsungan bekalan makanan.
Arthur berkata Kementeriannya mendokong visi negara ke arah membangun Malaysia Madani di samping memastikan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) diterapkan melalui pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal & Vokasional (TVET) yang ditawarkan.

Oleh yang demikian bagi memastikan semua graduan berkemahiran sentiasa relevan dalam industri pertanian, adalah penting bagi Kerajaan memperkasakan jaringan ekonomi digital di seluruh negara melalui pelaksanaan pelbagai kerangka strategi serta pelan tindakan termasuk juga dalam pembangunan dan pengukuhan program TVET dibawah kawal selia KPKM.
Katanya lagi, komitmen itu penting untuk mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara untuk lebih mampan, berdaya tahan serta berteknologi tinggi dalam memastikan pembangunan dan pemodenan industri pertanian Negara sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Selari dengan aspirasi pelaksanaan dan pembudayaan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) oleh KPKM, para graduan lulusan pusat bertauliah KPKM bukan sahaja mempelajari kemahiran teknikal tetapi turut diterapkan dengan ilmu keusahawanan sepanjang tempoh pengajian untuk menjadi nilai tambah di alam pekerjaan atau sebagai asas menjadi usahawan agromakanan yang berjaya.
Pada tahun 2022, kadar kebolehpasaran graduan pusat bertauliah KPKM adalah sebanyak 72.3 peratus berbanding 66.3 peratus pada tahun 2021. Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi perlu untuk memenuhi keperluan kepakaran semasa dan masa hadapan untuk membina tenaga kerja yang mantap dalam sektor agromakanan.
Di samping itu, pemerkasaan latihan TVET dengan penerapan latihan dalam penerima gunaan teknologi moden akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan meningkatkan nilai tambah kepada graduan yang dihasilkan dan seterusnya dapat meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan KPKM.
KPKM juga telah meluluskan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM26.3 juta untuk penyelenggaraan infrastruktur di Pusat Bertauliah KPKM bagi menyediakan prasarana lengkap dan baik untuk para pelatih merangkumi 14 program pembangunan yang terlibat di seluruh negara. Pemerkasaan modal insan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan jangka panjang kerana ia mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan industri, menjana hasil dan memperoleh pendapatan yang tinggi.