9 Maut, Empat Masih Hilang Ekoran Banjir Kilat Di Pakistan
PAKISTAN — Sekurang-kurangnya sembilan orang meninggal dunia akibat lemas dan empat lagi masih hilang susulan banjir kilat yang berlaku di sungai Swat, Wilayah Khyber Pakhtunkhwa pada Jumaat.
Sungai bermusim sepanjang tahun itu berpunca dari lembah glasier tinggi di pergunungan Hindu Kush, sebelum mengalir ke kawasan Kalam dan seterusnya menjadi tulang belakang kepada keseluruhan Lembah Swat.
Memetik laporan Arab News, hujan lebat telah menyebabkan banjir kilat, sekali gus menaikkan paras air sungai ke tahap berbahaya di beberapa lokasi di seluruh Lembah Swat.
Jurucakap KP Rescue 1122, Bilal Faizi, berkata pasukan penyelamat setakat ini telah menemui sembilan mayat di beberapa kawasan di Swat ketika banjir terus memusnahkan sebahagian lembah itu.
“Penyelamat di Swat telah menemui mayat sembilan orang yang hanyut dalam banjir. Operasi mencari masih diteruskan untuk mengesan empat lagi individu yang hilang,” katanya kepada Arab News.
Terdahulu, Faizi memaklumkan seramai 16 orang telah terperangkap dalam banjir, sambil menambah bahawa tiga daripada mereka telah diselamatkan.
Bencana itu berlaku sehari selepas Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) Pakistan memberi amaran mengenai hujan lebat dan banjir kilat. Ia dijangka melanda beberapa bahagian negara itu dari 26 Jun hingga 28 Jun.
Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko terutama di kawasan rendah dan bercerun telah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada. Mereka juga diminta untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan bagi memastikan kesediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Seramai 120 anggota penyelamat mengambil bahagian dalam operasi menyelamat (di Swat),” kata Faizi.
Dalam pada itu, Pakistan kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi satu lagi musim tengkujuh yang buruk dan meningkatkan usaha untuk menangani sebarang kemungkinan bencana.
Imbas kembali, seramai 1,700 orang telah terkorban dalam kejadian banjir besar pada 2022. Banjir yang berlaku disebabkan hujan monsun dan pencairan glasier itu turut menjejaskan 33 juta orang di Pakistan.
Ketika kejadian, arus yang deras menghanyutkan rumah, kenderaan, tanaman dan ternakan dengan kerugian dianggarkan sebanyak $30 bilion.
Sumber: Arab News