Sembilan Maut & Tujuh Cedera, Mangsa Tembakan Sekolah Di Belgrade
Lapan murid dan seorang pengawal keselamatan terbunuh dalam satu insiden tembakan di sekolah yang terletak di Belgrade, Serbia pada Rabu.
Menurut laporan AFP, kejadian tersebut berlaku sekitar 8:40 pagi (waktu tempatan) di sebuah sekolah yang terletak di bandar Belgrade, Vracar.
Difahamkan, sekolah-sekolah rendah di negara itu menempatkan murid-murid yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 15 tahun.
Susulan insiden tembakan tersebut, pihak polis telah dikerah dan mengepung sekolah berkenaan. Pada masa yang sama, ibu-bapa pelajar turut berada di lokasi kejadian sambil meunggu berita berkenaan nasib anak masing-masing.
Ketua Polis Belgrade, Veselin Milic mengesahkan kematian lapan orang murid tersebut terdiri daripada tujuh perempuan dan seorang lelaki.
Murid-murid yang terkorban dalam insiden ngeri terbabit berusia dalam lingkungan 12 hingga 14 tahun.
Menurut kenyataan polis, suspek dipercayai remaja berusia 13 tahun dan merancang untuk melakukan beberapa serangan. Suspek juga dikatakan menyediakan senarai mangsa-mangsa yang ingin dibunuh.
Insiden tersebut seakan-akan menggoncang negara yang terletak di wilayah Balkan itu.
Presiden Serbia, Aleksandar Vucic menggambarkan insiden tersebut sebagai ‘salah satu saat paling sukar dalam sejarah moden Serbia’.
“Lapan kanak-kanak dan seorang pengawal keselamatan telah terbunuh. Manakala, enam kanak-kanak dan seorang guru mengalami kecederaan,” kata Kementerian Dalam Negeri.
Dalam pada itu, pemerintah tempatan, Milan Nedeljkovic berkata, tindakan pantas pengawal keselamatan sekolah yang mengorbankan diri menjadi perisai berjaya menghalang lebih banyak angka korban.
”Pengawal itu mahu menghalang insiden tersebut dan menjadi mangsa pertama dalam tragedi berdarah ini.
“Berkemungkinan, jumlah korban dalam tragedi ini akan menjadi besar jika lelaki tersebut tidak berdiri di hadapan kanak-kanak ketika tembakan berlaku,” tambahnya.
Astrid Merlini, salah seorang ibu kepada pelajar memaklumkan guru sekolah berkenaan juga bertindak pantas dengan menyembunyikan para pelajar sebaik sahaja serangan berlaku.
“Ketika (anak perempuan) melihat pengawal keselamatan itu rebah, dia segera berlari ke kelas. Dia sangat takut. Dia memberitahu gurunya mengenai insiden tembakan yang berada di tingkat atas.
“Guru-guru tersebut segera melindungi kanak-kanak dan tidak membiarkan sesiapa keluar daripada kelas.”
Salah seorang mangsa insiden tembakan tersebut merupakan warganegara Perancis, jelas Kementerian Luar Negeri Perancis.
“Staf dan pihak kedutaan kami menggiatkan usaha bagi menyediakan sokongan terhadap keluarga pada saat-saat sukar ini,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
Insiden tembakan di sekolah merupakan salah perkara yang luar biasa kerana pembelian senjata api memerlukan permit khas.
BACA: Sonny Bill Williams Luah Rasa Kagum, Puji Adab Kanak-Kanak Malaysia Ketika Bersalam
Sumber: AFP