80 Tahun Tunggu Kepulangan Suami, Wanita Usia 103 Tahun Meninggal Dunia
Seorang wanita berusia 103 tahun di China meninggal dunia selepas lebih lapan dekad menanti kepulangan suaminya, lapor South China Morning Post.
Du Huzhen yang menetap di wilayah Guizhou telah menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada 8 Mac lalu, namun punca kematian tidak didedahkan oleh ahli keluarganya.
Lebih menyayat hati apabila Huzhen sedang memegang sarung bantal lama yang digunakan sejak hari perkahwinannya pada tahun 1940 sebelum disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, mendiang telah mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang tiga tahun lebih muda daripadanya.
Tidak lama selepas perkahwinan mereka, suaminya, Huang Junfu menyertai tentera dan terlibat dalam pertempuran di seluruh negara. Bahkan, mendiang sempat tinggal bersama suaminya ketika menjalani perkhidmatan tentera pada tahun 1943.
Junfu dipercayai bekerja di Malaysia
Apabila mengetahui dirinya hamil, Huzhen membuat keputusan untuk kembali ke kampung halaman dan melahirkan anak di sana.
Beberapa hari selepas kelahiran bayi lelaki mereka, Junfu pulang sebentar ke rumah bagi menguruskan pengebumian ibunya sebelum kembali bertugas.
Menurut SCMP, Junfu tidak pernah pulang selepas meninggalkan rumah dan hanya sempat menghantar beberapa pucuk surat kepada isterinya, dengan yang terakhir bertarikh 15 Januari 1952.

“Demi pendidikan Fachang, kamu harus memastikan dia memberi keutamaan kepada pelajaran walaupun keluarga dalam keadaan susah. Apabila tiba masanya kita akan bersatu semula,” tulis Junfu dalam surat itu.
Berdasarkan surat tersebut, Junfu dipercayai bekerja di sebuah syarikat pembinaan di Malaysia pada ketika itu.
Huzhen kelihatan tenang ketika menghembuskan nafas terakhir
Sepanjang ketiadaan suaminya, mendiang telah membesarkan anak mereka dengan bekerja keras sebagai petani pada siang hari, malah menenun kasut jerami dan kain pada waktu malam untuk menambah pendapatan.

Dokumen rasmi dari Jabatan Hal Ehwal Rakyat China menunjukkan bahawa Junfu menetap di Malaysia pada 1950 sebelum berpindah ke Singapura beberapa tahun kemudian.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan tiada maklumat lanjut mengenai dirinya selepas itu.
Keluarga Huzhen telah berusaha menjejaki Junfu melalui pelbagai cara, termasuk menyiarkan notis di akhbar dan mengupah agensi pencarian luar negara, namun segala usaha masih gagal.
Menurut cucunya, Huzhen kelihatan tenang ketika menghembuskan nafas terakhir, seolah-olah dia melihat bayangan pertemuan semula dengan suaminya.
SCMP berkata, keluarganya berikrar untuk terus mencari Junfu dan keturunannya bagi memenuhi impian terakhir walaupun mendiang sudah tiada.
BACA: Berbeza Daripada Planet Lain, Ini Sebab Zuhrah Berputar Songsang
Sumber: South China Morning Post