Bagi yang memiliki haiwan peliharaan, ada kalanya mesti pening jugak kan melayan kerenah mereka. Kadang-kadang telatah haiwan ni boleh buat kita garu kepala. Ada sajalah benda tak terjangkau dek akal yang mereka buat.
Begitu juga pengalaman lelaki pemilik nama Bill Fischer dari Amerika Syarikat ni. Apa yang bikin pening kepala, tupai liar ini dah lapan tahun mengganggu hidup Bill dengan menyumbat enjin traknya dengan kacang. Nak kata haiwan peliharaan pun bukan, tapi tupai ni ‘hadir’ dalam hidup Bill sejak tahun 2013 dan sejak itu jugalah lelaki ni cuba menghentikannya.
Setelah lapan tahun ‘berperang’, tahun ini adalah kemuncaknya apabila Bill menemui 148 kilogram kacang di dalam trak pikapnya. Bukan sahaja di ruangan enjin, kali ini kacang-kacang tersebut turut disumbat ke dalam pintu, rim tayar dan belakang bampar. Lelaki berusia 56 tahun itu terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk mengeluarkan semua kacang dari keretanya.
Gambar: ABC NewsMemetik laporan Metro UK, bermacam-macam cara yang dilakukan lelaki tersebut untuk menghalang tupai ini mendekati traknya. Malah Bill dikatakan pernah menyembur campuran sos Tabasco dan serbuk lada di traknya agar tupai itu menjauh. Pun begitu, segala caranya selama lapan tahun ini tak berhasil dan tupai berkenaan tetap berdegil.
“Sebelum ni paling banyak saya pernah buang empat bakul kacang, tapi tahun ni tujuh bakul.
“Lepas bertahun-tahun, saya dah boleh agak bila perkara ni akan terjadi.
“Saya berusaha keras untuk buang berbakul kacang ni sampai perlu bongkar bahagian kereta saya,” kata Bill kepada Metro UK.
Pun begitu, Bill mengaku pernah rasa bersalah kerana ‘mensia-siakan’ usaha tupai tersebut mengumpul kacang menjelang musim luruh. Namun ia dah jadi semacam ‘acara tahunan’ untuk Bill, membersihkan kacang-kacang tersebut dari trak pikapnya setiap tahun.
Sumber: Metro UK