8 Cara Boleh Bantu Tubuh Rawat Influenza & Kembali Cergas
Apabila tubuh diserang influenza, dunia seakan perlahan seketika. Kepala terasa berat, tekak mula pedih, hidung tersumbat dan tenaga hilang entah ke mana.
Semua perkara yang biasanya mudah dilakukan tiba-tiba terasa sukar. Malah, tidur pun tidak lagi menenangkan apabila batuk dan selsema datang silih berganti.
Influenza bukan sekadar demam biasa. Ia adalah jangkitan virus yang boleh menjejaskan sistem pernafasan dan melemahkan seluruh tubuh jika tidak dijaga dengan betul.
Namun tubuh manusia sebenarnya mempunyai keupayaan luar biasa untuk melawan penyakit asalkan kita memberi peluang dan ruang untuk ia berfungsi dengan sebaiknya.
Dengan penjagaan diri yang betul, tubuh boleh pulih lebih cepat dan kembali cergas seperti sediakala. Tidak perlu bergantung sepenuhnya pada ubat semata-mata kerana apa yang paling penting ialah bagaimana kita menyokong tubuh untuk sembuh secara semula jadi.
Dalam tempoh ini, tubuh memerlukan perhatian penuh. Ia bukan sahaja dari segi rawatan fizikal tetapi juga keseimbangan emosi dan rehat mental.
Influenza boleh menjadi peluang untuk kita pause seketika daripada rutin sibuk dan fokus kepada diri sendiri. Artikel ini akan membimbing anda melalui 8 cara terbaik yang boleh membantu tubuh untuk rawat influenza dan kembali sihat dengan lebih cepat.
Cara-caranya mudah tetapi berkesan untuk mengembalikan tenaga, menenangkan tubuh dan memulihkan semangat yang hilang.
1. Utamakan rehat dan tidur berkualiti
Ketika tubuh sedang melawan virus influenza, rehat menjadi terapi utama yang tidak boleh diabaikan.
Tidur yang cukup membantu sistem imun bekerja dengan lebih cekap, menghasilkan antibodi yang melawan jangkitan dan mempercepatkan proses pemulihan.
Dalam keadaan sakit, jangan paksa diri untuk bekerja atau beraktiviti berat. Biarkan tubuh benar-benar berehat.
Cuba luangkan masa tidur sekurang-kurangnya 7 hingga 9 jam setiap malam. Jika tubuh terasa lemah pada siang hari, benarkan diri anda tidur sekejap (power nap) selama 20 hingga 30 minit.
Walaupun nampak remeh, tidur sebentar ini boleh memberi tenaga semula kepada badan. Pastikan juga bilik tidur dalam keadaan selesa, sejuk, tenang dan redup agar anda dapat tidur tanpa gangguan.
Tubuh yang cukup rehat bukan sahaja cepat sembuh malah membantu minda menjadi lebih tenang dan positif sepanjang proses pemulihan.
2. Kekalkan hidrasi
Ketika demam dan selesema, tubuh kehilangan banyak cecair melalui peluh, hingus dan pernafasan yang cepat. Dehidrasi boleh menyebabkan badan semakin lemah, kepala berdenyut malah suhu badan menjadi sukar dikawal.
Sebab itu penting untuk memastikan anda sentiasa cukup minum air. Minumlah air kosong dengan kerap walaupun anda tidak merasa dahaga.
Lebih baik jika air tersebut dalam suhu suam kerana ia dapat menenangkan tekak dan mengurangkan rasa perit ketika menelan.
Selain air kosong, anda juga boleh mengambil air madu suam, air lemon atau sup panas yang kaya dengan mineral.
Minuman seperti air kelapa juga bagus untuk menggantikan elektrolit yang hilang. Ingat, hidrasi bukan sekadar untuk menghilangkan haus.
Ia juga membantu sistem imun bekerja dengan lebih baik dan mempercepat proses penyembuhan dari dalam.
3. Makan makanan yang hangat dan berkhasiat
Apabila selera makan mula hilang, tubuh sebenarnya sedang memberi isyarat bahawa ia perlukan tenaga dalam bentuk yang lebih lembut dan mudah dicerna.
Pilihlah makanan yang bertekstur ringan seperti sup ayam, bubur nasi atau sayur rebus. Makanan hangat bukan sahaja menenangkan perut tetapi juga membantu membuka saluran pernafasan dan melegakan hidung tersumbat.
Elakkan makanan bergoreng, berlemak atau pedas kerana ia boleh merangsang keradangan dan mengganggu sistem penghadaman.
Jika anda benar-benar tiada selera, cuba makan dalam kuantiti kecil tetapi lebih kerap. Anda juga boleh tambahkan bahan seperti halia, bawang putih atau sedikit perahan lemon dalam makanan.
Bahan semula jadi ini kaya dengan sifat anti-radang dan antibakteria yang membantu tubuh untuk melawan dan rawat jangkitan influenza.
4. Hirup wap air suam atau gunakan humidifier
Masalah utama semasa influenza ialah hidung tersumbat dan tekak kering. Salah satu cara mudah untuk melegakan keadaan ini ialah dengan menghirup wap air suam.
Ia membantu melembapkan saluran hidung, melonggarkan lendir dan memudahkan pernafasan. Caranya mudah sahaja.
Anda perlu didihkan air, tuangkan ke dalam mangkuk, kemudian tundukkan wajah anda perlahan-lahan ke arah wap sambil menutup kepala dengan tuala.
Kemudian hirup wap tersebut selama 5 hingga 10 minit. Jika ingin lebih selesa, anda boleh tambahkan beberapa titis minyak pati seperti eucalyptus atau peppermint untuk rasa lebih lega.
Alternatif lain, gunakan humidifier di bilik tidur anda bagi mengekalkan kelembapan udara. Udara yang lembap membantu anda bernafas dengan lebih mudah dan mengurangkan rasa gatal di tekak.
5. Mandi air suam
Di sampping itu juga, demam influenza sering datang bersama rasa lenguh-lenguh pada sendi dan otot. Mandian air suam boleh membantu melancarkan peredaran darah dan memberikan kelegaan pada otot yang tegang.
Suhu air yang suam juga membantu menurunkan suhu badan secara semula jadi tanpa menyebabkan kejutan pada sistem tubuh.
Luangkan masa beberapa minit untuk berendam atau mandi dengan air suam sebelum tidur. Jika mahu, anda boleh tambahkan garam Epsom atau minyak aromaterapi seperti lavender untuk memberi kesan menenangkan.
Bukan sahaja badan terasa lebih ringan malah minda juga lebih relaks. keadaan ini dapat membantu anda tidur dengan lebih lena selepas itu.
6. Jaga kebersihan
Influenza mudah merebak melalui udara dan sentuhan. Jadi menjaga kebersihan adalah langkah penting bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga orang sekeliling.
Sentiasa basuh tangan dengan sabun selepas bersin, batuk atau menyentuh muka. Gunakan tisu ketika bersin dan buang segera ke dalam tong sampah tertutup.
Selain itu, lap permukaan yang sering disentuh seperti meja, telefon, tombol pintu dan suis lampu menggunakan tisu pembasmi kuman.
Jika anda tinggal bersama keluarga, cuba asingkan peralatan makan dan minum buat sementara waktu untuk elakkan penularan.
Pastikan bilik sentiasa mempunyai pengudaraan yang baik. Udara segar bukan sahaja membantu pemulihan tetapi juga menjadikan persekitaran lebih sihat dan bersih.
7. Kurangkan tekanan
Ramai yang tidak sedar bahawa stres boleh melambatkan proses penyembuhan. Ketika tubuh sedang melawan virus, hormon stres seperti kortisol boleh melemahkan sistem imun jika berada pada tahap tinggi.
Oleh itu, penting untuk mengurus emosi dengan baik semasa anda tidak sihat.
Gunakan masa ini untuk benar-benar berehat daripada tekanan harian. Kurangkan penggunaan telefon dan media sosial yang boleh menyebabkan keletihan mental.
Cuba luangkan masa untuk mendengar muzik lembut, membaca buku ringan atau sekadar menutup mata sambil menarik nafas panjang.
Tubuh yang tenang dan fikiran yang stabil memberi peluang kepada sistem imun berfungsi secara optimum dan sekaligus menjadikan pemulihan lebih cepat dan menyenangkan.
8. Dapatkan rawatan doktor
Walaupun influenza biasanya boleh sembuh dengan penjagaan diri di rumah, ada kalanya simptom menjadi lebih serius dan memerlukan perhatian perubatan.
Jika demam berlarutan lebih daripada lima hari, anda mula mengalami sesak nafas, batuk berdarah atau sakit dada yang kuat, segera dapatkan rawatan doktor.
Mereka mungkin akan menjalankan pemeriksaan lanjut atau memberi ubat antiviral jika diperlukan. Jangan ambil ringan keadaan seperti ini terutamanya jika anda mempunyai masalah kesihatan sedia ada seperti asma, diabetes atau penyakit jantung.
Rawatan yang tepat pada masa boleh mengelakkan komplikasi lebih serius seperti radang paru-paru.
Oleh itu, menjaga diri semasa influenza bukan sekadar menelan ubat atau menunggu demam reda dengan sendirinya. Ia tentang memberi tubuh peluang untuk berehat, menyembuh dan menguatkan diri dari dalam.
Dengan tidur yang cukup, pemakanan seimbang, hidrasi yang mencukupi dan pengurusan stres yang baik, tubuh akan lebih bersedia untuk melawan virus dan pulih lebih cepat.
Influenza mungkin membuatkan anda terhenti seketika tetapi anggaplah ia sebagai masa untuk reset tubuh dan minda anda.
BACA : Bayar Saman Lebih Mudah Melalui MyBayar PDRM
Sumber :
healthline,
betterhealth