PUTRAJAYA, 9 Okt – Enam lokaliti Zon Merah di daerah Semporna dan satu di Kunak dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam esok.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, perintah tersebut yang melibatkan 35,643 penduduk itu dijalankan berikutan kenaikan kes positif COVID-19 dikesan di kedua-dua daerah berkenaan.
Jelasnya, enam lokaliti adalah di Semporna melibatkan Kampung Bangau-bangau (dan sekitarnya), Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunur dan Kampung Pinggir Bakau, manakala hanya satu lokaliti terlibat di Kunak iaitu Kampung Pangkalan.
“Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing. Semua laluan keluar masuk ditutup.
“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Oleh kerana tidak dibenarkan keluar rumah dan semua aktiviti ekonomi ditutup, maka kerajaan negeri bersetuju untuk mengagihkan makanan di tujuh lokaliti tersebut,” katanya dalam sidang video perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.
Jelasnya, pengagihan tersebut akan dikoordinasi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.
Dalam pada itu, sektor-sektor lain seperti sekolah, masjid dan rumah ibadat turut ditutup serta aktiviti sosial, budaya, sukan, rekreasi dan sebagainya juga tidak dibenarkan.
Difahamkan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan saringan swab secara bersasar sepanjang tempoh tersebut.
Pihak PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan turut membantu sepanjang perintah berkenaan.
Sumber: Kementerian Pertahanan Malaysia