Seperti yang kita tahu, beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dilanda bencana banjir yang menyebabkan ribuan keluarga mengalami kemusnahan harta benda.
Pun begitu, keadaan di kebanyakan kawasan terjejas kini beransur pulih dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir sedang giat dijalankan. Pelbagai organisasi turut turun termasuk pasukan sukarelawan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) “MyLiveable Squad”.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican bersama 60 orang sukarelawan MyLiveable Squad yang terdiri dari pegawai dan kakitangan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan SWCorp hari ini meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir di sekitar Jelebu, Negeri Sembilan.
Bencana banjir kali ini telah menyebabkan banyak kerosakan harta benda dan fasiliti awam, saliran perparitan dan longkang tersumbat serta jalan-jalan dipenuhi lumpur. Sampah sarap dan peralatan yang rosak di bahu-bahu jalan dan sekitar perumahan turut memerlukan kerja-kerja pembersihan awam yang menyeluruh.
Gambar: KPKTOleh itu, KPKT dalam misi hari ini membantu membersihkan sisa-sisa pepejal, sampah sarap, fasiliti awam dan rumah-rumah mangsa yang terkesan di sekitar Jelebu serta meninjau kerja-kerja pembersihan yang sedang dilakukan oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan syarikat konsesi, Southern Waste Management.
Gambar: KPKT“KPKT juga telah memperuntukkan kira-kira RM6 juta bagi kerja-kerja pasca banjir yang meliputi kerja-kerja pembersihan awam, kutipan sampah dan pelupusan di lima buah negeri yang terjejas iaitu Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
“Selangor yang tidak mengguna pakai Akta 672 diperuntukkan kira-kira RM2.1 juta, manakala Pahang RM2.8 juta, Melaka RM145 ribu, Kuala Lumpur RM255 ribu dan Negeri Sembilan RM24 ribu.
“Tumpuan pasukan KPKT pada ketika ini adalah untuk kerja-kerja pasca banjir dan bina semula kehidupan pasca banjir ini. Banyak perkara yang perlu dilihat dan ini memerlukan sokongan setiap daripada kita, Keluarga Malaysia,” jelas Reezal Merican dalam kenyataan hari ini.
234 unit jentera dikerah bantu mangsa banjir
Bagi membantu kerja-kerja pasca banjir, SWCorp telah menggerakkan 234 unit jentera dan peralatan khusus ke lima negeri terjejas. Di Jelebu sahaja, pihak konesi telah menyediakan lapan buah lori RORO atau Tipper lima dan 16 tan, enam unit Tong RORO, tiga Waterjet Tanker, sebuah Backhoe dan dua buah kenderaan angkut.
Gambar: KPKTReezal Merican bersama MyLiveable Squad turut menyantuni para penduduk di Kampung Poum, Jelebu serta menyerahkan sumbangan daripada PR1MA berupa 200 unit periuk nasi, dapur memasak dan keperluan lain bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
Gambar: KPKTRM61 juta diperuntukkan KPKT untuk pulih banjir
KPKT dan agensi di bawahnya telah memperuntukkan sebanyak RM61 juta bagi usaha pemulihan banjir seluruh negara di mana RM50 juta disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kos membaik pulih infrastruktur di 25 PBT terjejas.
Sementara itu, RM5 juta diperuntukkan kepada PR1MA untuk bantuan keperluan asas, bakul makanan dan lain-lain. Manakala RM6 juta disalurkan kepada SWCorp untuk kerja pemulihan dan pembersihan pasca banjir.
Dalam kejadian banjir minggu lalu, sebanyak 15 buah rumah penduduk setempat terjejas teruk manakala enam lagi musnah. Justeru, pihak KPKT menggalas tanggungjawab untuk membantu para penduduk di kawasan ini untuk membina semula rumah yang terjejas melalui pihak berkuasa tempatan.
Gambar: KPKT“Usaha-usaha oleh KPKT ini merupakan amanah yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri bagi membantu semua mangsa banjir tanpa mengira latar belakang,” kata beliau.
KPKT turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dan berwaspada dalam memastikan keselamatan diri dan keluarga sepanjang musim banjir ini, di samping kekal menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19.
Sekiranya memerlukan bantuan kecemasan, orang ramai boleh merujuk balai-balai bomba berdekatan atau hubungi Nasional Disaster Command Centre (NDCC) di talian 03-8064 2400.