Seorang penjawat awam di Korea Selatan yang dijangkiti Covid-19 dilaporkan telah mengambil bahagian dalam kempen menderma darah pada minggu lalu sebelum dia disahkan positif dijangkiti dengan virus itu.
Pesakit yang berasal daripada Daegu, bandar di Korea Selatan yang paling teruk dilanda wabak tersebut, mula menunjukkan simptom selepas menderma darah pada 13 Februari, lapor the Global Times. Pesakit berkenaan telah didiagnos dengan Covid-19 pada 23 Februari lalu.

Menurut syarikat penyiaran milik kerajaan Korea Selatan KBS, seramai enam orang telah mendermakan darah mereka sepanjang dua minggu yang lalu sebelum disahkan positif. Walaupun darah yang disumbangkan itu telah ditarik balik, separuh daripadanya telah disalurkan kepada enam penerima.
South Korean Red Cross telah mengadakan kempen bagi menyeru orang ramai untuk mendermakan darah kerana bekalan darah di negara tersebut semakin berkurang akibat koronavirus.

Ketua Red Cross, Park Kyung-Seo pada bulan lalu telah membuat usul dalam satu kenyataan yang menekankan tentang kesulitan yang dihadapi akibat daripada penurunan drastik pendermaan darah selepas Korea Selatan mengesahkan kes pertama jangkitan Covid-19 pada 20 Januari lalu, lapor KBS.
Sumber: The Straits Times