6 Kawasan Rekod Hari Tanpa Hujan Melebihi 7 Hari Berturut-Turut
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan terdapat enam kawasan di Semenanjung yang tidak merekodkan hujan melebihi tujuh hari berturut-turut.
Menurut MetMalaysia, Perlis menduduki tempat pertama dengan bilangan hari tanpa hujan selama 30 hari.
Manakala, daerah Pulau Langkawi di Kedah adalah selama 27 hari.
Beralih ke bahagian Selatan, Melaka Tengah juga turut tersenarai dengan bilangan hari tanpa hujan selama 23 hari.
Sama seperti Melaka, daerah Barat Daya di Pulau Pinang dan daerah Kuala Langat di Selangor juga merekodkan hari tanpa hujan selama 23 hari.
Di Kota Setar, Kedah, bilangan hari tanpa hujan adalah selama 20 hari.
"MetMalaysia akan sentiasa memantau dengan rapi perkembangan keadaan cuaca dari semasa ke semasa," katanya.
Selain itu, Maklumat lanjut mengenai Fire Danger Rating System (FDRS) boleh di dapati https://myclimate.met.gov.my/fdrsWmsObsMsiaMetPortal.
Terdahulu, MetMalaysia juga telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan.
Menurutnya, analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan bahawa luruan angin timuran dijangka memasuki rantau negara bermula 29 Januari hingga 4 Februari 2026.
Keadaan tersebut berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sabah dan Sarawak serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut.
"Sehubungan dengan itu, Amaran Hujan Berterusan (Waspada) bagi utara Sarawak telah dikeluarkan berkuat kuasa bermula 30 hingga 31 Januari 2026 manakala utara dan timur Sabah berkuatkuasa bermula 30 Januari hingga 1 Februari 2026.
"Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih," kata MetMalaysia.