6 gunung berapi meletus
Sumber: The Sun UK

6 Gunung Berapi Meletus Selepas Gempa Kuat 8.8M

Hannah

6 Gunung Berapi Meletus Selepas Gempa Kuat 8.8M

Baru-baru ini, dunia digemparkan dengan fenomena luar biasa apabila enam gunung berapi di Semenanjung Kamchatka, Rusia, meletus susulan gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 yang melanda rantau Pasifik minggu lalu.

Kejadian ini dilabel sebagai “perarakan letusan gunung berapi” oleh pakar, sesuatu yang jarang berlaku dan kali terakhir dilaporkan pada tahun 1737, seperti dilapor The Sun UK semalam.

Letusan serentak di Zon Cincin Api (Ring of Fire)

Gempa kuat yang berlaku pada 30 Julai dengan pusat gempa kira-kira 135 kilometer tenggara Semenanjung Kamchatka telah mencetuskan aktiviti luar biasa di kawasan tersebut.

Kawasan ini tergolong dalam Zon Cincin Api Pasifik, iaitu satu kawasan berbentuk ladam kuda yang mempunyai ratusan gunung berapi aktif.

Menurut The Sun UK, antara gunung berapi yang kini aktif termasuklah:

1. Klyuchevskaya Sopka

Gunung berapi terbesar di Kamchatka ini memuntahkan lava panas dan abu setinggi hampir 5 kilometer ke udara.

Gunung berusia 7,000 tahun ini sebelum ini aktif sejak April, tetapi kini menunjukkan tanda-tanda kerusuhan yang lebih kuat.

2. Krasheninnikov

Gunung berapi ini mencatat sejarah apabila meletus buat kali pertama dalam tempoh lebih 600 tahun.

Letusan pada malam Ahad itu menghasilkan kolum abu besar yang menjulang setinggi 6 kilometer ke udara.

3. Shiveluch

Dengan ketinggian dua batu, ia kini berada dalam fasa letusan aktif dan terus mengeluarkan abu serta bahan gunung berapi.

4. Bezymianny

Gunung setinggi 1.8 batu ini mengeluarkan awan aerosol yang boleh membahayakan penerbangan di kawasan sekitarnya.

5. Karymsky

Gunung yang lebih kecil dengan ketinggian hampir satu batu ini juga mempamerkan aktiviti letusan yang ketara.

6. Avachinsky

Gunung berapi setinggi 1.7 batu ini mula meletus selepas gegaran 30 Julai, mencetuskan amaran tsunami di kawasan sekitar Pasifik.

Lebih membimbangkan, gunung berapi Mutnovsky dan Kambalny juga menunjukkan tanda-tanda bakal meletus, termasuk peningkatan suhu dan rekahan baru yang dikesan melalui imej satelit.

Fenomena yang sangat jarang berlaku

“Hari ini kita menyaksikan fenomena yang amat jarang berlaku, perarakan letusan gunung berapi,” ujar Dr Alexei Ozerov, Pengarah Institut Vulkanologi dan Seismologi Rusia.

Beliau menjelaskan bahawa gempa bumi besar itu secara langsung telah mengaktifkan pusat-pusat magma di bawah permukaan bumi.

“Letusan-letusan ini berkait rapat dengan gegaran kuat yang telah membekalkan tenaga tambahan kepada sistem magma.

“Rekahan dalam kerak bumi yang terbentuk akibat gempa ini memberi laluan kepada magma untuk naik ke permukaan,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Jonathan Paul, pakar gunung berapi dari Royal Holloway University of London, turut bersetuju dan menerangkan bahawa tekanan besar dari gempa mungkin telah membuka jalur kelemahan baru dalam kerak bumi.

“Letusan Krasheninnikov berlaku sedikit lewat kerana rekahan batuan mengambil masa untuk terbentuk, sebelum magma akhirnya memecah keluar ke permukaan,” katanya.

Ancaman kepada penerbangan & pelancong

Pihak berkuasa penerbangan telah mengeluarkan amaran merah berhubung kewujudan abu tebal di udara yang boleh mengganggu laluan penerbangan.

Dalam masa sama, kawasan pelancongan terkenal seperti Lembah Geyser turut terjejas dengan kehadiran bau gas dan lapisan abu yang tebal.

Difahamkan, usaha pemindahan pelancong juga sedang dipertimbangkan.

Selain itu, amaran juga dikeluarkan kepada orang awam agar tidak menghampiri mana-mana laluan ke kawah gunung berapi.

Risiko letusan lanjutan

Dalam pada itu, saintis memberi amaran bahawa siri letusan ini mungkin belum berakhir.

Dengan 160 gunung berapi aktif di Kamchatka sahaja, ada kemungkinan lebih banyak akan meletus dalam masa terdekat.

“Gunung berapi dalam lengkok gunung seperti di Kamchatka, Jepun, Chile dan Indonesia memang cenderung untuk meletus selepas gempa bumi besar,” menurut Profesor Michael Manga dari University of California.

BACA: Gempa Di Rusia Paling Kuat Sejak 1952

BACA: Gempa Kuat 8.8M: Ombak Tsunami Tiba Di California, Amerika Syarikat

BACA: Gempa Kuat Di Rusia, Amaran Tsunami Dikeluarkan Di Pantai Pasifik Jepun

Sumber: The Sun UK