PUTRAJAYA, 7 Sept – 580 individu terlibat aktiviti di pub dan kelab malam antara 873 yang ditahan semalam atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada angka itu, 797 individu telah dikompaun, 71 direman dan lima (5) lagi dijamin.
“Seramai 118 ditahan kerana tidak amalkan penjarakan fizikal, 52 tidak memakai pelitup muka, 52 premis beroperasi lebih masa, 39 pendatang asing tanpa izin (PATI).
“(Selain itu) 22 gagal menyediakan peralatan dan butiran rekod kehadiran pelanggan, tujuh (7) disyaki terlibat perlacuran, dua (2) langgar perintah kuarantin dan seorang menghalang penjawat awam bertugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, 30 orang PATI bersama empat (4) penyeludup juga turut ditangkap melalui Op Benteng dalam 14 tangkapan, selain 12 kenderaan darat turut dirampas.
“Semalam, sebanyak 16 operasi sanitasi meliputi 13 zon iaitu empat (4) Zon Kuning dan sembilan (9) Zon Hijau yang melibatkan tujuh (7) buah negeri antaranya Pulau Pinang (4 operasi), Sarawak (3), Pahang (2), Sabah (2) Melaka (2), Kedah (2) dan Selangor (1).
“Daripada 1,088 premis yang diperiksa, 1,080 didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) manakala lapan (8) lagi diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,” kata kenyataan itu lagi.



Sumber: MINDEF