
54 Hari Terpisah, Bayi Terselamat Ketika Gempa Turkiye Disatukan Semula Dengan Ibu
ANKARA — Seorang bayi akhirnya bertemu kembali dengan ibunya pada Sabtu lalu selepas 54 hari terpisah akibat kejadian gempa bumi di Selatan Turkiye beberapa bulan lalu, Lapor Agensi Anadolu.
Menurut Pegawai Kesihatan Turkiye, bayi berusia tiga bulan setengah itu diselamatkan di wilayah Hatay. Ia selepas 128 jam gempa bumi yang melanda negara itu pada 6 Februari lalu.
Bayi berkenaan kemudiannya telah dibawa dan dijaga di hospital di ibu negara itu.
Pertemuan Antara Ibu dan Anak
Menteri Keluarga dan Perkhidmatan Sosial, Derya Yanik berkata bayi tersebut bertemu dengan ibunya di wilayah Adana sewaktu sedang menerima rawatan.
Tambah Yanik, hasil ujian DNA kedua-dua mereka juga adalah sepadan.
“Bayi itu seperti satu keajaiban. Bukan sahaja terselamat malah dia juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang memerlukan perhatian kami.
“Dia juga seperti anak kami,” katanya.
Bagaimanapun, gempa bumi yang berlaku dua bulan lalu itu telah meragut nyawa ayah dan abang lelakinya. Gempa itu turut mengorbankan lebih 50,000 orang.
Bayi Terselamat Gempa Turkiye Dibawa Ke Hospital Ankara
Terdahulu, bayi-bayi yang ditemui bersendirian (tiada penjaga) selepas gempa bumi telah dibawa ke Angkara menggunakan pesawat Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, lapor Daily Mail.
Difahamkan, pesawat berkenaan membawa seramai 16 bayi dari wilayah Kahramanmaras ke ibu negara Turkiye itu.
Kesemua bayi yang dibawa dari zon gempa dikumpulkan. Mereka telah diberikan kepada ibu angkat.
Bukan itu sahaja, bayi-bayi itu juga dijaga dengan baik oleh Pertubuhan Kanak-Kanak yang bergabung dengan Kementerian Perkhidmatan Keluarga dan Sosial.
Kesempatan itu diambil oleh isteri Presiden Turkiye, Emine Erdogan yang mengadakan lawatan ke lokasi mereka ditempatkan.
Gempa Turkiye
Terdahulu, negara berkenaan dilaporkan dilanda gempa bumi dashyat yang berukuran 7.8 magnitud pada 6 Februari lalu.
Gempa berkenaan turut menjejaskan negara jiran Syria dan dapat dirasai di beberapa negara Timur Tengah. Kebanyakan bangunan yang ranap menyebabkan orang ramai terperangkap di dalam runtuhan.
Oleh itu, negara-negara dari seluruh dunia telah menawarkan bantuan dengan menghantarkan pasukan penyelamat. Kesemua pasukan ditugaskan untuk melakukan misi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan kejadian.
Sumber: Agensi Anadolu