Gambar: Bernama
Tiada Kategori

50 Tahun Simpan Hadiah Sahabat Malaysia, Kisah Wanita Dari China Sentuh Hati Ramai

Iqbal Yasir

50 Tahun Simpan Hadiah Sahabat Malaysia, Kisah Wanita Dari China Sentuh Hati Ramai

Boleh dikatakan hampir semua pelajar kini mempunyai pelbagai kemudahan untuk mengakses terhadap sumber rujukan pelajaran. Sama ada perpustakaan, komputer riba mahupun telefon pintar.

Malah maklumat yang dimahukan boleh diperolehi hanya di hujung jari dengan hanya mengetik pada carian google, segala maklumat dipaparkan pada skrin.

Berbeza pula jika mengimbau kembali bidang pendidikan pada awal abad ke-19, akses untuk untuk sebarang sumber pelajaran agak terhad, lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin mempelajari bahasa asing.

Kisah Wanita Dari China Fasih Berbahasa Melayu Sentuh Hati Ramai

Itulah yang kisah dikongsikan oleh seorang wanita asal dari China, Sun Baoping dalam video di saluran YouTube Husna Liang baru-baru ini.

Menurut Husna, dia sanggup menempuh perjalanan dua jam dari bandar Beijing ke Kampung Xiaoling semata-mata untuk menemui Sun yang fasih bertutur dalam Bahasa Melayu.

Gambar: YouTube Husna Liang

Sun Baoping lebih dikenali sebagai Cikgu Fatimah, 72, merupakan pensyarah Bahasa Melayu dari Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU), telahpun bersara dan kini menetap di kampung berkenaan.

Fasih Melayu Sejak Masih Bergelar Siswi

Ketika ditanya mengenai bagaimana fasih bertutur dalam bahasa itu, Fatimah memberitahu pada awalnya sama sekali tidak terlintas untuk mempelajari Bahasa Melayu.

Pada awalnya, Fatimah memberitahu bahawa dia telah menerima tawaran melanjutkan ke Universiti ketika sudah bekerja.

“52 tahun yang lalu iaitu tahun 1973, sebenarnya tahun itu saya sudah kerja di Inner Mongolia, jauh dari Beijing. Tetapi BFSU telah mengirimkan seorang guru yang berbahasa Jerman.

“Beliau (guru) pergi ke sana menemu duga saya. Waktu saya isi borang, saya tahu akan belajar Bahasa Jerman kalau saya diterima.

“Semuanya lancar apabila saya sampai di BFSU, sehingga apabila saya sampai di BFSU, saya diberitahu telah dialihkan ke jurusan Bahasa Melayu.

Sumber Rujukan Yang Terhad

Gambar: YouTube Husna Liang

Walau bagaimanapun, sewaktu menimba ilmu di menara gading di Beijing, dia menyedari bahawa bahan rujukan dalam Bahasa Melayu sangat terhad ketika itu.

Lebih-lebih lagi ketika itu, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara masih belum terjalin.

“Setiap kuliah beliau (pensyarah) siapkan banyak contoh ayat..sudah tentu dari surat khabar Bahasa Melayu atau majalah.

“Saya akan ingatkan betul-betul bentuk ayat itu dan sesudah kelas, saya cukup rajin mengulang kaji juga. Sampai tahun kedua, saya sudah menjadi siswi yang terbaik dalam kelas kami,” katanya.

Jadi Penterjemah Ketika Rombongan Dari Malaysia

Atas faktor pencapaian akademik yang baik, Fatimah telah dijanjikan pekerjaan meskipun masih belajar di tahun keduanya.

Malah, Fatimah juga pernah bergelar sebagai penterjemah sewaktu berlangsungnya Kejohanan Jemputan Persahabatan Renang dan Terjun Antarabangsa pada tahun 1975.

Bercerita lebih lanjut, dia memberitahu bahawa itulah momen kali pertama dirinya bertemu dengan orang Melayu kerana rombongan Malaysia turut menyertai pertandingan itu.

Fatimah sempat menerima hadiah daripada seorang lelaki dari Malaysia berupa sebotol minyak wangi.

50 Tahun Simpan Hadiah, Tanda Kenang Persahabatan Antara Dua Negara

Gambar: YouTube Husna Liang

Lebih manis, sehingga kini dia masih menyimpan hadiah yang diberikan oleh lelaki bernama Muhammad bin Ismail sebagai tanda persahabatan meskipun sudah 5o tahun.

“Ini minyak wangi dari Malaysia, disimpan selama 50 tahun. Simpan sampai saya jumpa orang yang bagi saya hadiah ini.

“Walaupun ia (rupanya) begitu, tapi hanya saya sendiri pakai. Saya tidak bagi suami” selorohnya.

Tambahnya, Muhammad pernah mengirimkannya rujukan seperti nota Rukun Negara kerana Fatimah kekurangan bahan rujukan.

Gambar: YouTube Husna Liang
Gambar: YouTube Husna Liang

Dia mengakui, hadiah-hadiah yang diberikan itu pernah menjadi bahan untuknya mengajar di dalam kelas dan disimpan sehingga kini.

Fatimah dalam klip berkenaan turut berharap agar salamnya kepada lelaki yang ditemuinya 50 tahun lalu dapat disampaikan atau kepada ahli keluarganya yang menonton video itu.

Untuk mengetahui kisah penuh Cikgu Fatimah, tonton video penuh di bawah;

Sumber: YouTube Husna Liang