Lima warga Palestin terbunuh dalam satu serangan di Tebing Barat hari ini. Menurut media Israel, kelima-lima mereka merupakan mangsa insiden penembakan dalam misi Israel menahan anggota Hamas di bandar Jenin dan Ramallah.
Lapor sumber tersebut, tiga daripada mereka dipercayai terkorban di sebuah perkampungan di barat laut Jerusalem semasa terjadi balas tembak. Dikatakan ketika itu tentera Israel sedang mengepung salah satu rumah di kampung tersebut.
Memetik laporan Anadolu, dua lagi warga Palestin dipercayai terkorban di perkampungan Burqin, di kawasan barat daya kota Jenin. Jurucakap Israel berkata, situasi mungkin lebih buruk sekiranya Hamas bertindak melancarkan roket sebagai bentuk serangan balas.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Palestin mengesahkan empat warga Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel tersebut. Manakala sembilan lagi cedera semasa insiden penembakan itu, menurut Gabernor Jenin, Akram al-Rujoub.
Menurut laporan The Nationals, tentera Israel turut menahan tujuh individu di sekitar bandar dalam kejadian tersebut. Pun begitu, pihak ketenteraan Israel enggan mengulas lanjut berkenaan insiden yang berlaku.
Sumber: Anadolu Agency