kereta rosak banjir
Gambar: AI/ImageFX

5 Perkara ‘Wajib’ Buat Kalau Tak Nak Kereta Rosak Teruk Redah Banjir

Hannah

5 Perkara ‘Wajib’ Buat Kalau Tak Nak Kereta Rosak Teruk Redah Banjir

Setiap hujung tahun, rakyat Malaysia terutama di Semenanjung pasti sudah lali dengan kebimbangan sama iaitu musim tengkujuh.

Hujan lebat yang berterusan sering mengundang banjir kilat, menyebabkan jalan dinaiki air dan kenderaan berisiko rosak teruk jika tiada persediaan.

Kini di media sosial, semakin banyak perkongsian menunjukkan kawasan yang sudah mula dilanda banjir. Dalam keadaan cemas menyelamatkan diri dan harta benda, kereta menjadi antara aset yang mahu dilindungi.

Jadi, kami kongsikan beberapa perkara penting anda ‘wajib’ lakukan demi mengelakkan kereta daripada mengalami kerosakan teruk ketika meredah banjir.

1. Pastikan Laluan Betul-Betul Selamat

Sebelum redah, pastikan laluan di hadapan benar-benar “clear”. Jika perlu menunggu, lebih baik tunggu dahulu.

Bahaya jika anda terpaksa memperlahankan kereta tiba-tiba kerana ada orang melintas atau ada kereta berhenti di depan. Ini boleh menyebabkan anda tersangkut di tengah air.

2. Berhenti dan Nilai Kedalaman Air

Jika anda nampak air bertakung atau banjir di hadapan, jangan terus redah. Berhenti seketika dan nilai keadaan terlebih dahulu.

3. Perhatikan Kenderaan di Hadapan

Kedudukan ekzos kebanyakan kereta adalah sekitar 7–8 inci dari tanah. Jadi, lihat kereta lain yang sedang meredah air di depan, sama ada tenggelam atau tidak ekzosnya.

Perhatikan sehingga kereta itu keluar semula ke kawasan kering. Dari situ, anda boleh anggar paras air sebenar.

Jika paras air lebih rendah daripada ekzos, biasanya selamat untuk meredah. Namun, pastikan anda memandu pada kelajuan perlahan tetapi konsisten, jangan terlalu laju.

Sebaliknya, kalau air lebih tinggi daripada ekzos tetapi tidak sampai tahap ‘kapal selam’, anda masih boleh meredah tetapi dengan teknik yang betul.

Tip untuk kereta manual

  • Gunakan gear 1.

  • Kekalkan RPM melebihi 2500.

  • Jangan kurangkan RPM ketika meredah air. Jika RPM turun, air boleh disedut masuk melalui ekzos dan masuk ke enjin, menyebabkan kereta mati di tengah banjir.

Tip untuk kereta automatik

  • Masukkan gear ‘Low’ (L).

  • Redah secara perlahan dengan kelajuan stabil.

Cara kekalkan RPM tinggi pada kelajuan rendah

  • Kereta manual: Kawal menggunakan clutch.

  • Kereta automatik: Kawal kereta menggunakan handbrake (pastikan butang handbrake sentiasa ditekan dan jangan lepaskan supaya brek tidak terkunci).

Teknik ini biasanya sesuai untuk jarak kurang 250 meter. Untuk banjir kilat, jaraknya selalunya jauh lebih pendek, sekitar 50 meter atau kurang.

4. Bunyi Tepukan Air Adalah Normal

Jika anda dengar bunyi air ‘menampar’ bawah lantai kereta, itu perkara biasa, seperti bunyi ketika menaiki bot.

Yang penting, kekalkan kelajuan optimum, tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu laju, supaya kereta tidak diolak ombak air dan hilang kawalan.

5. Uji Brek Selepas Melepasi Kawasan Banjir

Selepas kereta naik semula ke kawasan kering, brek mungkin kurang cengkaman kerana basah.

Pandu perlahan (10–15 km/j) sambil tekan minyak dan brek serentak untuk menghasilkan haba. Ini membantu mengeringkan brek.

Bila rasa cengkaman mula kembali, tingkatkan kelajuan ke 20–25 km/j dan uji brek beberapa kali pada jarak 20–30 meter. Ulang sehingga brek kembali normal.

Sediakan payung sebelum hujan

Meredah banjir bukan sesuatu yang digalakkan, namun ada kalanya ia tidak dapat dielakkan. Dengan teknik yang betul, anda mampu mengurangkan risiko kerosakan pada kereta serta memastikan keselamatan diri.

Musim tengkujuh memerlukan kewaspadaan tinggi. Sentiasa utamakan keselamatan, nilai keadaan dan jika ragu-ragu, lebih baik jangan redah.

BACA: 5 Benda Di Rumah Anda Yang Suka ‘Memanggil’ Ular

Sumber: Azam Motor Banting – HQ/FB