
5 Jenis Cacing Punca Anak Sakit Perut, Ibu Bapa ‘Wajib’ Tahu Cara Mencegah
Adakah anda sebagai ibu bapa kerap melihat anak menggaru di bahagian punggung?
Itu mungkin petanda si kecil mengalami masalah cacing yang hidup di dalam perut, khususnya pada saluran gastrousus atau dinding usus.
Walaupun jangkitan ini boleh terjadi kepada orang dewasa, namun ia lebih kerap terjadi kepada kanak-kanak.
Difahamkan, jangkitan ini kebiasannya terjadi disebabkan sistem imun badan lemah, makan daging mentah, penjagaan kebersihan diri lemah dan disebabkan minum air yang tidak bersih atau tercemar.
Ia boleh mengakibatkan kekurangan zat makanan, menjejaskan tumbesaran dan boleh membawa kepada masalah lain seperti anemia, hilang selera makan, sakit perut berulang, cirit-birit dan muntah.
Selain itu, jangkitan ini juga boleh menyebabkan masalah kognitif pada anak anda.
Jadi, kali ini SK akan berkongsi dengan anda lima jenis cacing yang terdapat di dalam perut serta langkah pencegahannya melalui perkongsian Hello Doktor.
Berikut 5 jenis cacing yang boleh menjangkiti anak anda.

Cacing benang
Threadworm atau turut dikenali sebagai cacing jarum (pinworm), merupakan jangkitan paling biasa untuk terjadi. Ia berwarna putih, nipis dengan kepanjangan antara 8-13 mm.
Jangkitan cacing ini mudah merebak kerana ia mempunyai telur mikroskopik dan berkembang di dalam tubuh anak.
Antara simptom asas jangkitan cacing jarum ini adalah:
Kegatalan
Kerengsaan, kegelisahan, insomnia
Loya dan sekali-sekali mengalami sakit perut
Jenis cacing dalam perut #Cacing rambu
Jangkitan cacing rambu atau whipworm ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak atau individu tinggal di kawasan dengan tahap kebersihan yang rendah.
Di samping itu, mereka yang tinggal di kawasan beriklim panas atau lembap juga berisiko untuk dijangkiti.
Simptom jangkitan ini berbeza daripada ringan hingga teruk, seperti:
Muntah
Sakit kepala
Ketidakupayaan mengawal pengeluaran najis
Cirit-birit berdarah
Penurunan berat badan
Jenis cacing dalam perut #Cacing pita
Tapeworm atau cacing pita biasanya hidup dalam usus haiwan. Ia terjadi apabila haiwan meminum atau meragut rumput yang dicemari dengan parasit ini.
Jangkitan menular kepada manusia yang memakan daging haiwan dijangkiti yang tidak masak sepenuhnya.
Antara gejala yang boleh terjadi:
Loya
Lemah
Sakit perut
Kekurangan vitamin dan mineral
Hilang selera atau rasa lapar secara tiba-tiba
Cacing pipih
Fluke atau cacing pipih ini boleh mempunyai kepanjangan sehingga 4 inci.
Jika terkena jangkitan cacing pipih, simptom yang boleh terjadi adalah anak akan demam, keadaan lemah dan tidak selesa serta kegatalan.
Jenis cacing dalam perut #Cacing gelang
Jangkitan cacing gelang atau roundworm berlaku apabila cacing yang hidup dalam tanah tercemar oleh najis masuk ke dalam tubuh melalui mulut.
Cacing ini boleh menjadi panjang sehingga 13 inci. Cacing gelang betina boleh bertelur sekitar 200,000 telur setiap hari.
Antara simptom yang boleh dialami adalah:
Cacing keluar daripada mulut atau hidung
Kegagalan untuk membesar atau kehilangan berat mendadak
Nafas berdehit
Demam
Jenis cacing dalam perut: Fahami simptomnya
Berikut adalah antara simptom biasa apabila seseorang dijangkiti cacing, seperti:
Penurunan berat badan
Kembung perut/perut berangin
Sakit perut
Cirit-birit, muntah dan loya
Kerap makan
Demam dan batuk kering
Berdehit
Anemia
Rasa sakit ketika kencing
Punca jangkitan cacing
Terdapat beberapa sebab yang boleh meningkatkan risiko jangkitan cacing terutamanya kepada kanak-kanak:
Minum atau mengambil makanan yang tercemar
Tahap kebersihan diri rendah
Menyentuh permukaan yang dijangkiti kuman seperti di taman permainan atau telur parasit dalam tanah
Menyentuh haiwan peliharaan yang dijangkiti
Tidak mencuci tangan dengan betul
Makan daging yang kurang masak
Kaedah rawatan
Tidak mengira jenis cacing apa yang berada dalam perut, rawatan yang diberikan adalah sama:
Pesakit perlu memberikan sampel najis kepada makmal untuk memeriksa sama ada ia mengandungi telur cacing
Doktor biasanya akan memberikan ubat untuk mengeluarkan cacing daripada perut. Tempoh pengambilan ubat adalah antara 1-3 hari. Ahli keluarga juga perlu menerima rawatan
Langkah pencegahan
Terdapat beberapa perkara boleh dilakukan untuk mencegah penyebaran cacing dan jangkitan daripada berulang:
Didik anak untuk basuh tangan dengan sabun selepas ke tandas, bermain di luar rumah atau dengan haiwan peliharaan dan sebelum makan.
Memotong kuku dengan kerap
Galakkan anak untuk tidak menggaru punggung atau menghisap jari
Rawat setiap ahli keluarga dengan ubat antiparasit jika ada individu dalam keluarga terkena jangkitan cacing
Jika anak atau ahli keluarga mengalami jangkitan, kerapkan basuh pakaian, sarung katil dengan air sabun panas setiap hari selama beberapa hari selepas rawatan
Jangan makan buah atau sayuran tidak dibasuh atau daging kurang masak

Sumber: Hello Doktor