Susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri semalam, dijangka 45 ribu kenderaan akan memasuki negeri Melaka bermula Jumaat ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah, jumlah tersebut adalah 137 peratus dari jumlah kebiasaannya. Sebelumnya, Melaka menerima kira-kira 19 ribu kemasukan setiap hari sepanjang sekatan pergerakan dijalankan.
Tambah Razali, kenaikan ini melibatkan aktiviti pulang ke kampung dan pelancongan di Bandar Bersejarah itu. Aliran trafik di negeri Melaka berkemungkinan meningkat secara mendadak menjelang hujung minggu ini.
“Sejak pagi tadi, jumlah kenderaan masuk menunjukkan sedikit peningkatan.
“Ada juga yang datang dari Putrajaya dan Johor semata-mata untuk menikmati asam pedas, kemudian pulang ke negeri masing-masing,” katanya, memetik laporan Kosmo.
Pun begitu, menurut Razali, pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan dibuat secara berkala di semua pintu masuk plaza tol negeri ini.
Tambahnya, jika ada individu yang belum lengkap vaksinasi cuba memasuki negeri Melaka, tindakan kompaun akan dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Sumber: Kosmo