Pegawai Perubatan lantikan tetap kkm
Gambar: Bernama

4,352 Pegawai Perubatan Terima Surat Tawaran Lantikan Tetap Sebelum 18 Ogos – KKM

Iqbal Yasir

4,352 Pegawai Perubatan Terima Surat Tawaran Lantikan Tetap Sebelum 18 Ogos – KKM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) — Sebanyak 4,352 calon Pegawai Perubatan Gred UD10 akan menerima surat tawaran bagi lantikan tetap selewat-lewatnya 18 Ogos ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua calon yang memilih untuk menerima lantikan itu akan melapor diri ke fasiliti kesihatan KKM seluruh negara secara berfasa seawal 2 Okt.

Menurut KKM, ia membabitkan pegawai daripada beberapa kohort lantikan kontrak dan dilaksanakan secara berfasa bagi menjaga susunan kekananan serta kebajikan pegawai.

“Pelantikan tetap ini perlu dilaksanakan secara berfasa kerana ia melibatkan pegawai perubatan daripada beberapa kohort lantikan kontrak di samping menjaga kebajikan pegawai dari aspek susunan kekananan,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan sesi libat urus telah diadakan bersama Kementerian Kewangan (MoF), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan proses pelantikan tersebut berjalan mengikut perancangan.

KKM turut menyatakan komitmen untuk memastikan keseluruhan proses lantikan tersebut berjalan lancar.

“Ini selaras dengan langkah strategik KKM dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara dengan memastikan pengisian jawatan kritikal dilaksanakan secara terancang, seimbang dan berteraskan keperluan perkhidmatan semasa,” menurut kenyataan itu.

Pada 23 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia berkata kerajaan akan menyegerakan pengisian 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan, termasuk lantikan doktor kontrak pada tahun ini kerana ada keperluan mendesak terhadap sektor penjagaan kesihatan negara.

Anwar turut mengarahkan KKM mempercepat proses birokrasi yang menyebabkan kelewatam lantikan, memandangkan pada asalnya KKM menjangkakan kebanyakan atau kesemua jawatan tersebut hanya akan dapat diisi menjelang November.

Sumber: BERNAMA

BACA: Anggota Polis Maut Dirempuh Kenderaan Penjenayah Sedang Lakukan Jenayah Pecah Rumah