
4 Gajah Di Kluang Dipercayai Mati Akibat Kegagalan Pernafasan, Organ Mungkin Diracun
Empat ekor gajah yang ditemui mati di Kahang Timur, Kluang pada awal bulan ini dipercayai mengalami kegagalan pernafasan dan organ serta pendarahan dalaman.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, menyatakan bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa gajah-gajah tersebut telah diracun berdasarkan keadaan bangkai gajah.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan ujian makmal dan toksikologi sampel daripada keempat-empat gajah tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Bangkai seekor ibu mamalia itu bersama tiga anak jantannya berada pada jarak 50 meter antara satu sama lain.
“Namun faktor empat gajah itu mengalami kegagalan pernafasan serta organ selain pendarahan dalaman memerlukan keputusan ujian makmal seperti ujian bakterialogi dan mirologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Johor Bersih@Sungai Skudai di Kampung Bakar Batu, Perling, pada Ahad.
Menurut Tian Soon, bedah siasat telah dijalankan oleh pakar veterinar sehari selepas bangkai gajah-gajah itu ditemui.
“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membawa pakar veterinar ke lokasi penemuan bangkai gajah untuk proses bedah siasat dijalankan.
“Sebaik sahaja bedah siasat selesai dijalankan, bangkai gajah berkenaan ditanam di kawasan terbabit,” katanya.
Mengulas lanjut, Tian Soon menyebut bahawa tindakan undang-undang boleh diambil jika terbukti kematian gajah tersebut disebabkan oleh racun.
“Jika terdapat bukti kukuh, sememangnya tindakan undang-undang boleh diambil.
“Bagaimanapun, buat masa sekarang, beri ruang kepada Perhilitan untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu,” katanya.
Pada 3 Jun lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, melaporkan bahawa habitat utama empat ekor gajah yang ditemui mati di Kahang, Kluang, dikelilingi oleh kawasan pertanian, perladangan dan penempatan penduduk.
Laporan awal mengenal pasti bahawa bangkai seekor gajah betina dan tiga ekor gajah jantan yang ditemui itu berasal dari kumpulan Bandar Tenggara di Hutan Simpan Lenggor, Hutan Simpan Kluang dan Kluang Tambahan, Hutan Simpan Labir, Hutan Simpan Sembrong di Johor dan Taman Negara Endau Rompin, Pahang.
BACA: Empat Gajah Ditemukan Mati Di Kluang
Sumber: Sinar Harian