
37 Maut Di Peru Selepas Bas Terjunam Ke Dalam Gaung
Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dan 24 yang lain cedera dalam kejadian nahas bas dua tingkat yang terjunam ke dalam gaung selepas bertembung dengan sebuah trak pikap di selatan Peru pada Rabu.
Memetik laporan AFP, kemalangan yang berlaku di Arequipa itu merupakan antara yang terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Amerika Selatan, di mana kemalangan maut sering berlaku.
Kejadian itu berlaku pada waktu subuh di laluan Lebuhraya Panamericana Sur, yang menghubungkan antara Peru dengan Chile.
Angka kematian dan kecederaan telah disahkan oleh pengurus kesihatan wilayah Arequipa, Walther Oporto kepada AFP .
“Jumlah kematian berkemungkinan meningkat kerana beberapa orang mangsa cedera parah dalam kemalangan itu,” katanya.
Bas dua tingkat yang dikendalikan oleh syarikat Llamosas itu berlepas pada malam Selasa dari Chala, sebuah bandar besar di wilayah Careveli dan dalam perjalanan menuju ke Arequipa, bandar kedua terbesar di Peru.
Bas tersebut membawa lebih 60 orang penumpang termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Memetik kenyataan dari anggota bomba, bas tersebut telah terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 200 meter selepas bertembung dengan trak pikap di selekoh jalan.
Bas tersebut tergolek menuruni gaung dan akhirnya berhenti di kawasan tebing sungai.
Jurucakap Jabatan Bomba, Jack Paez berkata, keadaan muka bumi yang berbatu telah menyukarkan lagi usaha menyelamat yang melibatkan kira-kira 30 anggota polis dan bomba.
“Insiden ini telah menyebabkan ramai ahli keluarga bersedih,” katanya kepada TV Peru.
Dalam pada itu, menurut satu gambar yang dihantar oleh pejabat pendakwa raya, seorang paderi turut tiba di lokasi kejadian dan telah mendoakan kesejahteraan mangsa-mangsa terkorban di tebing sungai.

“Saya menuntut keadilan sepenuhnya agar undang-undang dikenakan ke atas pemandu trak yang dipercayai telah menyebabkan kemalangan ini,” ujar salah seorang ahli keluarga mangsa kepada media tempatan.
Presiden Jose Jeri, dalam satu kiriman di laman X telah menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang terjejas.
Sementara itu, ketua polis Olger Benavides memaklumkan kepada pemberita bahawa pemandu trak yang telah terselamat dari kemalangan itu telah ditahan selepas menjalani ujian pengambilan alkohol.
Kemalangan maut di jalan raya adalah perkara biasa di Peru disebabkan oleh pemanduan laju, memandu dalam keadaan mabuk, keadaan jalan yang teruk, kekurangan papan tanda dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah dari pihak berkuasa.
Topografi berbukit-bakau di negara itu juga boleh menjadikan keadaan pemanduan lebih berbahaya.
Sebanyak 3,173 kematian direkodkan di jalan raya Peru, tahun lalu.
Pada Februari 2018, 44 orang turut terbunuh selepas sebuah bas terjunam ke dalam sungai, berhampiran dengan lokasi kemalangan yang berlaku pada Rabu itu.
Sumber: AFP