
36 Kompaun Dikeluarkan Kesalahan Merokok
Pejabat Daerah Kesihatan (PKD) Seberang Perai Selatan dalam satu aktiviti penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 telah mengeluarkan 36 notis kompaun bagi kesalahan merokok di kawasan larangan pada Ahad lalu.
Perkara itu dimaklumkan Sektor Inspektor dan Perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu hantaran di platform X.
“PKD Seberang Perai Selatan telah menjalankan pemantauan premis & penguatkuasaan PPKHT 2004 di Bukit Mertajam.
“Sekurang-kurangnya 36 notis atau kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan merokok di kawasan larangan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam ada itu, PKD Setiu turut melakukan pemantauan premis dan penguatkuasaan PPKHT 2004 di premis makanan, pasar raya dan hentian awam.
“Sebanyak sembilan notis dan kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan merokok di kawasan larangan dan lain-lain kesalahan,” maklum kenyataan tersebut.
Pada hari yang sama, PKD Kota Bharu juga mengeluarkan 21 notis kompaun bagi kesalahan merokok di kawasan larangan dan lain-lain kesalahan di sekitar premis makanan dan hentian awam.
Pada Sabtu, PKD Timur Laut turut mengeluarkan 55 notis kompaun bagi kesalahan sama di Bukit Jambul, Gelugor dan Georgetown.
Sumber: X @ SIPKKM