Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memohon agar masyarakat lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri.
Menerusi Kenyataan Akhbar yang dikeluarkan pada hari ini, Dr Noor Hisham mengatakan bahawa pandemik COVID-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.
“Sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada di dalam keadaan stress yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai,” katanya.
Menurutnya lagi, sumber daripada Polis Diraja Malaysia juga mendapati bahawa terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019. Sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia.
Ekoran itu, Dr Noor Hisham juga memohon kepada orang ramai untuk mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan seperti di bawah ini:
1. Perubahan tingkah laku kepada individu:
Sentiasa kelihatan sedih dan murung
Hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan
Kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa
Mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan
Mengalami gangguan tidur dan selera makan
Bertindak agresif dan kasar (abusive) kepada diri sendiri dan orang sekeliling
Menyalahguna alkohol dan dadah
2. Menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga.
3. Menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.
Sekiranya terdapat gejala-gejala yang disenaraikan di atas, individu dinasihatkan agar mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk.
Selain daripada itu, orang ramai boleh membantu dengan berkomunisasi secara berkesan dengan individu yang mengalami kemurungan, antaranya seperti:
1. Mengambil serius tentang masalah yang dialami
2. Meluangkan masa untuk mendengar luahan mereka
3. Tidak mengambil mudah atau memperlekehkan masalah mereka
4. Menunjukkan empati dan mengelakkan sikap menghakimi individu tersebut
5. Memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat yang terkini bagi mengekalkan perhubungan dengan individu tersebut
6. Memberikan sokongan sosial kepada mereka seperti membantu dalam urusan seharian jika diperlukan
7. Galakkan dan bantu mereka untuk dapatkan penilaian dan rawatan profesional

Sumber: Kenyataan Akhbar Kp Kesihatan