30 Rumah Dilanda banjir Kilat Susulan Hujan Lebat

Edayu

JOHOR BAHRU, 19 Nov – Hujan lebat selama kira-kira sejam di daerah ini petang tadi mengakibatkan 30 buah rumah di Jalan Permatang Utama, Kampung Kempas Baru di sini, dilanda banjir kilat.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Kamaruzzaman Yusof berkata ia menyebabkan 13 penduduk dipindahkan buat sementara waktu ke Balai Raya Jalan Permatang.

Bagaimanapun menurutnya kesemua mereka yang terdiri daripada dua wanita, enam kanak-kanak perempuan dan lima kanak-kanak lelaki, dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada pukul 5.30 petang setelah air surut.

“Lima anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender bergegas ke lokasi kejadian selepas bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 4.16 petang,” dalam kenyataan di sini malam ini.

“Sebaik tiba, didapati berlaku banjir di antara Jalan Permatang Utama sehingga Jalan Permatang Tiga dengan ketinggian air menjangkau sehingga tiga kaki,” katanya dan menambah operasi ditamatkan pada 5.40 petang setelah bomba memastikan keadaan benar-benar selamat.

— BERNAMA