Seramai 30 anak kapal dikhuatiri maut selepas sebuah kapal sokongan industri karam dan terbelah dua akibat dihentam ribut dalam kejadian di Laut China Selatan baru-baru ini, lapor Independent.
Menurut Perkhidmatan Kecemasan Hong Kong menerusi laporan Independent, kejadian itu dilapor berlaku di perairan kira-kira 300 kilometer dari selatan Hong Kong.
Ketika kejadian, perkhidmatan kecemasan tersebut mengerahkan dua pesawat serta empat helikopter ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Bagaimanapun setakat 5.30 petang hari kejadian, hanya tiga individu berjaya ditemui dan diselamatkan.
Sementara itu, The Guardian turut memuat naik beberapa foto rakaman daripada Perkhidmatan Penerbangan Kerajaan Hong Kong dalam laporan sama.
Salah satu foto kejadian menunjukkan seorang kru kapal terpaksa dinaikkan ke helikopter menggunakan tali keselamatan yang dikendalikan oleh pihak kecemasan.
Dalam pada itu, menurut perkhidmatan penerbangan tersebut, kapal berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat impak ribut kuat serta terbelah dua.
Difahamkan, kapal yang terbelah dua itu dipercayai terperangkap dalam ribut tropika Chaba yang berbahaya dengan kelajuan angin kira-kira 110 kilometer sejam.
Sehubungan itu, anak-anak kapal menghadapi kesukaran untuk membawa keluar kapal berkenaan dari cuaca buruk di lokasi tersebut.
Sementara itu, menurut The Guardian, tiga mangsa yang terselamat berkata, anak-anak kapal lain dipercayai mungkin telah dihanyutkan ombak sebelum helikopter pertama tiba.
Dalam masa sama, pasukan penyelamat optimis untuk meningkatkan kawasan pencarian disebabkan angka mangsa sangat besar.
Selain itu, mereka mahu melanjutkan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa lain sehingga malam (hari kejadian) jika keadaan semasa membenarkan.
Terdahulu, ribut tropika berkelajuan kira-kira 110 kilometer sejam itu tiba di bahagian barat wilayah Guangdong di China pada Sabtu sebelum itu.
Imbas kembali, sekitar 2019 lalu, turut pernah berlaku satu kejadian hampir serupa melibatkan sebuah kapal persiaran yang mengalami kerosakan ketika cuaca ribut ‘menyerang’ di sekeliling.
Memetik laporan terdahulu, kira-kira 1,300 orang terpaksa dipindahkan dari kapal persiaran MV Viking Sky menggunakan lima helikopter dan beberapa buah kapal lain.
Menurut pihak berkuasa Norway seperti yang dilapor agensi berita BBC ketika itu, kapal tersebut mengalami masalah di bahagian enjin hingga menyebabkan operasi pengendaliannya tergendala.
Malah lebih menakutkan, kejadian yang berlaku (enjin mati) itu terjadi sewaktu angin bertiup kencang dan menyebabkan ombak naik begitu tinggi. Hal tersebut ternyata menimbulkan perasaan panik penumpang.
BACA JUGA: “Cermin Pecah Dan Air Meluru Masuk Ke Dalam Kapal” Detik Cemas Kapal Mewah Hampir Karam Terkandas Di Tengah Laut
Sumber: Independent / The Guardian / Express