Tiga pelajar sekolah termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tampil membuat laporan menyatakan hak mereka untuk menolak pemberian vaksin yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk pelajar sekolah.
Memetik daripada laopran Malaysia Gazette, pelajar yang berusia 17 tahun itu tidak mahu untuk mengambil vaksin atas alasan bimbang jika sesuatu perkara buruk berlaku pada dirinya.
Difahamkan, dia mendakwa berhak untuk menolak pemberian vaksin ini daripada menjadi ‘bahan eksperimen’ kerajaan. Jika berlaku sesuatu pada dirinya, ia merupakan tanggungjawab sendiri dan ibu bapanya.
“Saya pelajar yang sihat tubuh badan dan tidak sanggup mengambil sebarang risiko yang boleh mendatangkan mudarat pada tubuh badan saya melalui suntikan vaksin yang masih lagi pada tahap ujian klinikal,” ujar pelajar tersebut pada media.
Tambahnya lagi, dia tidak sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk ujian klinikal dan mendakwa bahawa banyak lagi cara untuk mencegah Covid-19 iaitu melalui cara perubatan homeopati holistik, makanan sunnah yang keluarganya amalkan untuk mencegah daripada terkena jangkitan wabak ini.
Selain itu, dia juga mendakwa bahawa banyak isu keselamatan berkesanan dan kemudaratan berkaitan baksin masih belum terjawab dan kandungannya juga wajar dipersoalkanoleh pihak kesihatan serta kerajaan.
Perkara ini dijelaskan sendiri oleh salah seorang pelajar yang ditemui bual oleh media di Balai Polis Taman Melawati hari ini.
Pelajar tersebut dipercayai telah menerima borang daripada guru sekolah mereka untuk mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin.
Dalam pada itu, pelajar ini mendakwa gurunya memberitahu mereka tentang tiada siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang implikasi akibat pengambilan vaksin.
Katanya lagi, tiada mana-mana individu yang memaksa mereka untuk tampil membuat laporan tersebut. Bukan itu sahaja, pelajar ini mendakwa seluruh ahli keluarganya masih belum mendapat suntikan vaksin dan mereka berhak untuk menentukan sama ada mahu atau tidak mengambilnya.
“Dari situ saya dapat menilai sendiri segala maklumat berkaitan pemberian vaksin yang diperoleh dan membuat keputusan untuk menolak disuntik vaksin,” katanya lagi.
Sumber: Malaysia Gazette