3 Kampung Termasuk Wilayah Malaysia
Gambar: Kompas.com

3 Kampung Termasuk Wilayah Malaysia: Pemerintah Indonesia Perjelas Nasib Rakyatnya

Iqbal Yasir

3 Kampung Termasuk Wilayah Malaysia: Pemerintah Indonesia Perjelas Nasib Rakyatnya

Kerajaan Indonesia tampil memberikan penjelasan berhubung nasib penduduknya susulan tiga buah kampung Desa Kabungalor, Desa Lepaga dan Desa Tetagas kini termasuk dalam wilayah Malaysia, lapor Kompas

Setiausaha Badan Nasional Pengelola Perbatasan (BNPP), Makhruzi Rahman memaklumkan peralihan wilayah ini berlaku selepas penyelesaian Outstanding Boundary Problem (OBP) antara Indonesia dan Malaysia yang melibatkan Pulau Sebatik.

Kerajaan menyatakan bahawa walaupun terdapat kawasan yang beralih, Indonesia sebenarnya memperoleh hak ke atas tanah yang lebih luas dan berjanji akan memberikan pampasan kewangan kepada penduduk yang terjejas.

Beliau berkata demikian sewaktu mesyuarat bersama Komisi II DPR di Bangunan DPR, Senayan, Jakarta, pada Rabu.

Nasib Penduduk Di Tiga Buah Kampung

Makhruzi turut menjelaskan bahawa kerajaan akan memberikan pampasan kewangan kepada rakyat Indonesia yang kawasan tempat tinggal mereka telah beralih ke wilayah Malaysia.

Namun, jumlah pampasan tersebut masih dalam proses pengiraan oleh BNPP

"Keadaan sejarah segmen Pulau Sebatik ini sedang kami laksanakan. Jawatankuasa telah dibentuk dan telah berangkat ke Sebatik minggu lalu.

"Mudah-mudahan kami dapat menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada masyarakat yang tanahnya kini masuk ke wilayah Malaysia,” katanya

Indonesia Peroleh 127 Hektar, Malaysia 4.9 Hektar

Sementara itu, Indonesia difahamkan memperoleh hak ke atas kawasan seluas 127 hektar, manakala Malaysia memperoleh 4.9 hektar.

Pada awalnya, Makhruzi menjelaskan mengenai penyelesaian Outstanding Boundary Problem (OBP) yang telah dipersetujui antara Indonesia dan Malaysia berkaitan Pulau Sebatik yang terbahagi antara wilayah Indonesia dan Malaysia.

"Ada tiga OBP yang telah dipersetujui melalui penandatanganan Memorandum of Outstanding dalam Mesyuarat Bersama Indonesia–Malaysia ke-45 pada 18 Februari 2025 di Pulau Sebatik, iaitu di titik B-2700, B-3000 serta Simantipal.

Ini menyebabkan kira-kira 127 hektar kawasan di Pulau Sebatik kekal berada dalam wilayah Indonesia.

"Selain itu, masih terdapat empat segmen OBP di sekitar sektor barat, Kalimantan Barat yang belum diselesaikan sepenuhnya, iaitu di D-400, Gunung Rayan, Sibuan dan Batu Aum.

"Ia kini berada dalam fasa tinjauan lapangan secara unilateral oleh pasukan teknikal perundingan Indonesia serta pelaksanaan perbincangan pertukaran maklumat bagi membincangkan TOR dan SOP," tambahnya.

Timbalan Menteri ATR/BPN, Ossy Dermawan menegaskan bahawa kerajaan akan menjamin hak Warga Negara Indonesia (WNI) di Pulau Sebatik akan dipulihkan selepas proses penempatan semula.

"Penduduk yang terjejas kini terdiri daripada 19 pemegang sijil tanah, seorang pemilik dokumen lain, 26 pemilik dokumen desa, serta lima pemegang akta di bawah tangan," katanya.

Sumber:KOMPAS.com